Lebih 1,000 sertai Program BSAS Berselawat Bersama Ustaz Don Daniyal

Bernama
Januari 2, 2024 06:15 MYT
Don Daniyal Don Biyajid (dua, kanan) menyampaikan ceramah yang bertajuk 'Mindset Tahun Baru' pada Program BSAS Berselawat Bersama Al-Fadhil Ustaz Don Daniyal Don Biyajid Peringkat Negeri Perak 2024, pada Selasa. - Gambar Bernama
IPOH: Lebih 1,000 orang menyertai Program Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) Berselawat Bersama Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di sini, malam tadi.
Program berkenaan telah diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad bersama isteri Datin Seri Aezer Zubin, barisan exco kerajaan Negeri serta ketua jabatan dan agensi kerajaan di peringkat negeri.
Program yang berlangsung sekitar jam 9 malam itu dimulakan dengan bacaan Surah At-Taubah, ayat 122 hingga 129 oleh johan qari Tilawah al-Quran negeri Perak 2023, Mohd Kamaruzaman Daud.
Pengisian program berbentuk keagamaan itu diteruskan dengan alunan selawat dan zikir dendangan Kumpulan Qasidah Majelis Rasulullah dari Gerik, diikuti ceramah berjudul 'Mindset Tahun Baru' yang telah disampaikan oleh Ustaz Don Daniyal.
Program berkenaan diadakan bertujuan untuk meraikan tahun baru, selain memperkasakan aktiviti keagamaan yang dilihat mampu memberi manfaat kepada umat Islam pelbagai peringkat di Perak. - BERNAMA
#Program Bulatan Sultan Azlan Shah #program berselawat #Ustaz Don Daniyal Don Biyajid #Perbadanan Kemajuan Negeri Perak
;