Lebih 1,000 rumah dilanda banjir di Melaka

Astro Awani
Jun 7, 2015 20:36 MYT
Banjir pagi tadi juga turut menjejaskan penduduk di daerah Jasin antaranya di Merlimau, Umbai, Pulai dan Serkam.
Lebih 1,000 buah rumah dilanda banjir apabila hujan lebat sejak jam 6 pagi sehingga jam 11 pagi tadi di seluruh Melaka.
Kebanyakan rumah terlibat di kawasan Melaka Tengah, antaranya berhampiran sepanjang Sungai Melaka.
Timbalan Penguasa dan Penyelamat Bomba Melaka, Kamaruzaman Mohamad Din berkata, hujan lebat sejak pagi dan berlaku air laut pasang menjadi penyebab utama banjir kilat berlaku.
“Kita dapat laporan kaji cuaca yang hujan akan berterusan hingga ke petang. Kita berharap semua penduduk berhati-hati kerana mungkin berlaku ribut.
“Kita telahpun mengarahkan Merlimau, Jasin dan juga Alor Gajah tadi jika ada pokok tumbang di jalan-jalan besar. Dengan panggilan tuan-tuan, kita dapat memberi bantuan dengan secepat mungkin,” katanya.
Menurutnya, terdapat tiga jalan terputus hubungan dan tidak boleh dilalui kenderaan kerana paras air mencecah satu meter tinggi iaitu Jalan Peringgit, Jalan Ayer Keroh dan Jalan Bukit Katil.
Sebanyak enam buah balai bomba dari Melaka Tengah, Jasin, Merlimau, Ayer Keroh, Kubu dan Tangga Batu terlibat dalam proses membantu mangsa banjir.
Proses membantu turut melibatkan tujuh buah bot untuk menyelamatkan mangsa.
Sementara itu, Bernama melaporkan sebanyak 15 keluarga di kawasan Melaka Tengah dan Jasin dipindahkan ke pusat pemindahan di Bukit Pulau dan Duyung.
#banjir #banjir kilat Melaka #mangsa #pusat pemindahan
;