Lebih 1,000 pengunjung hadir raikan Ambang Merdeka di PKNS Uptown Shah Alam
Bernama
Ogos 30, 2023 06:58 MYT
Ogos 30, 2023 06:58 MYT
SHAH ALAM: Lebih 1,000 pengunjung hadir malam tadi memeriahkan sambutan Ambang Merdeka di pusat perniagaan PKNS Uptown Shah Alam, di sini anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kerjasama Persatuan Peniaga Uptown Shah Alam.
PKS menerusi kenyataan berkata sambutan berkenaan dianjurkan oleh pihaknya pada setiap tahun bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan bersama para peniaga dan pengunjung yang sentiasa memberikan sokongan terhadap PKNS Uptown.
Selain itu, menurutnya program itu juga diadakan bertujuan mempromosikan pusat perniagaan berkenaan yang mempunyai lebih 400 gerai pelbagai jenis perniagaan seperti pakaian, perhiasan, perkakasan rumah dan makanan.
Majlis sambutan tersebut dirasmikan oleh Pengurus Besar Kanan Pentadbiran PKNS, Saharom Mohni yang disertai gimik pelancaran bertemakan futuristik dengan persembahan video montaj animasi mengenai sejarah kemerdekaan yang dipancarkan menggunakan laser.
Terdahulu, 300 bendera Jalur Gemilang diedarkan kepada para pengunjung untuk sama-sama dikibarkan tatkala laungan merdeka menjelang detik 12 malam, simbolik bagi sambutan Hari Kebangsaan 2023.
Saharom berkata sambutan kemerdekaan merupakan acara yang sangat penting bagi memperingati detik paling bersejarah buat negara dan erti kemerdekaan itu sangat mendalam bagi PKNS.
"Justeru itu, bagi berkongsi rasa cinta kepada negara dan menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan warga kerja, kami turun padang untuk mendekatkan diri serta meningkatkan penglibatan secara terus dengan masyarakat awam," katanya.
Saharom berkata Uptown itu dipilih sebagai lokasi penganjuran bagi setiap tahun memandangkan pusat perniagaan tersebut mencatatkan jumlah pengunjung yang sangat menggalakkan pada setiap hari dan mempunyai pengunjung setianya yang tersendiri.
-- BERNAMA