Lebih 1,000 peminat campervan, motorhome berkampung di Melaka sempena WTC, WTD

Bernama
Januari 19, 2025 10:00 MYT
Lebih 100 pemilik campervan dan motorhome dari pelbagai negeri berhimpun di tapak 'Recreational Vehicles' (RV) Stadium Tun Fatimah, Melaka selama empat hari bermula Khamis. - Gambar Bernama
MELAKA: Melaka bakal menjadi tumpuan apabila lebih 1,000 peminat campervan dan motorhome dari seluruh negara berhimpun di negeri ini sempena program Jambori Karavan yang diadakan bersempena Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) pada September nanti.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Campervan dan Motorhome Malaysia, yang dijangka dapat merancakkan ekonomi pelancongan negeri melalui daya tarikan baharu iaitu kenderaan rekreasi (RV).
"Kami akan menganjurkan Jambori Karavan terbesar di Malaysia yang akan berlangsung di Dataran 1Malaysia. Acara ini merupakan satu daripada program sempena WTD dan WTC pada September tahun ini," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program '2025 Camper Rally Melaka' di RV Park, Stadium Tun Fatimah, malam tadi.
Program tersebut dijangka menarik lebih 155 delegasi dari seluruh dunia yang diketuai oleh menteri pelancongan, sekali gus menggamit lebih ramai pelancong.
Turut hadir Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Presiden Persatuan Campervan dan Motorhome Malaysia, Farman Othman.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri komited untuk memperluaskan industri RV berkenaan di Melaka termasuk menambah baik fasiliti di tapak perkhemahan dan penganjuran aktiviti rekreasi perkhemahan.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah menjalankan kajian mendalam mengenai industri RV di Australia sebagai persediaan untuk membangunkan tapak karavan yang sesuai dengan suasana tempatan.
"Saya amat berbangga kerana walaupun baru memasuki tahun kedua dalam mengembangkan industri ini, Melaka kini memiliki empat tapak karavan. Kami optimis jumlah ini akan bertambah dari semasa ke semasa, memberikan lebih banyak pilihan kepada peminat campervan untuk menikmati keindahan alam semula jadi di Melaka," katanya.
Beliau turut menyebut dalam pembentangan Bajet 2025 Negeri Melaka bahawa negeri ini berhasrat untuk membangunkan 'Glamping and Caravan Park' bertaraf dunia, termasuk di Taman Ekstrem Tasik Chinchin.
Terdahulu, lebih 100 pemilik campervan dan motorhome dari pelbagai negeri berkumpul di RV Park, Stadium Tun Fatimah, selama empat hari bermula Khamis.
Selain menikmati keindahan dan keunikan Melaka, para peserta turut terlibat dalam pelbagai aktiviti menarik yang bertujuan mengeratkan hubungan sesama mereka. - BERNAMA
#campervan #motorhome #Hari Pelancongan Dunia #Jambori Karavan
;