Lebih 1,000 nelayan tradisional Bachok, Tok Bali tangguh aktiviti laut

Bernama
November 4, 2020 16:13 MYT
Sebilangan besar mereka melakukan kerja menjahit pukat yang rosak, membaik pulih bot-bot yang bocor dan jeti yang hampir roboh terutama di Pangkalan Petah. - Gambar hiasan/Bernama
BACHOK: Lebih 1,000 nelayan tradisional Bachok dan Tok Bali, Pasir Puteh terpaksa menangguh aktiviti menangkap ikan disebabkan ancaman Laut China Selatan bergelora berikutan musim tengkujuh, sejak seminggu lepas.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Bachok, Saripudin Ishak berkata seramai 700 daripada jumlah itu merupakan ahli persatuannya dan mereka kini terpaksa melakukan kerja sampingan sementara menunggu keadaan laut reda.
"Sebilangan besar mereka melakukan kerja menjahit pukat yang rosak, membaik pulih bot-bot yang bocor dan jeti yang hampir roboh terutama di Pangkalan Petah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Jabatan Meteorologi hari ini mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora (Kategori Kedua) dari Barat Daya berkelajuan 50-60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter di jangka berlaku di kawasan perairan timur laut Condore sehingga esok.
Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
Saripudin berkata kehilangan punca pendapatan itu ditampung bantuan kerajaan termasuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Sara Hidup Nelayan (BSHN) sebanyak RM250 sebulan bagi meringankan beban mereka menyara keluarga sepanjang musim tengkujuh.
Beliau merayu kerajaan dapat menambahkan bantuan BSHN kepada RM500 sebulan pada pembentangan Belanjawan Jumaat ini memandangkan mereka tiada pekerjaan lain selain menangkap ikan dalam masa yang terhad.
Saripudin meramalkan musim laut bergelora tahun ini lebih panjang dari tahun-tahun sudah disebabkan fenomena itu datang lewat iaitu pada bulan November bukan bermula Oktober seperti kelazimannya.
Sementara itu seorang nelayan Tok Bali, Mohd Zaki Yusof, 48, berkata bagi mengisi masa lapangnya, beliau mengambil kesempatan membersihkan sampah sarap yang melekat pada pukatnya ketika aktiviti menangkap ketam beberapa minggu lepas.
"Katanya, jika pukat itu tidak dibersihkan ia akan menyukarkan ketika melakukan kerja-kerja menahan pukat sebaik keadaan laut tenang," katanya.
Seorang rakannya, Romzi Mohamed, 55, berkata, beliau dan rakan-rakannya bergotong-royong membaik pulih jeti yang rosak sebagai persediaan menghadapi musim laut bergelora.
"Di jeti ini kami dapat menyimpan pukat, tong minyak dan peralatan menangkap ikan sementara menunggu keadaan laut mengizinkan," katanya.
-- BERNAMA
#nelayan #cuaca #aktiviti laut #Tok Bali #Bachok #ekonomi #Laut China Selatan
;