Lebih 1,000 hektar tanah milik kerajaan negeri Terengganu diteroka secara haram - Exco

Astro Awani
Disember 10, 2021 09:18 MYT
Azman (tengah) berkata, pihaknya telah mengenal pasti lebih 100 individu yang terlibat dalam penerokaan tanah kerajaan secara haram yang berlangsung sejak 16 tahun lalu. - Foto Astro AWANI
MARANG: Lebih 1,000 hektar tanah milik Kerajaan Negeri Terengganu diteroka secara haram dengan sebahagian besarnya melibatkan aktiviti penanaman kelapa sawit.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Negeri Dr Azman Ibrahim berkata, keadaan itu telah berlarutan sejak 16 tahun lalu, melibatkan beberapa daerah, termasuk Setiu.
Menurutnya, pihaknya telah mengenal pasti lebih 100 individu yang terlibat dan mengambil langkah proaktif bagi menangani masalah berkenaan.
"Tanah-tanah yang diceroboh ini, akan dilupuskan kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu.
"Kemudian, peneroka-peneroka tanah haram ini akan diberikan sublease atau pun pajakan daripada lembaga tabung sehingga tempoh umur produktiviti," katanya kepada media pada satu majlis pecah tanah di sini semalam.
Jelasnya, tanah berkenaan akan diberi pajakan mengikut luas kawasan dan akan kembali menjadi hak kerajaan negeri selepas tamat tempoh.
Dengan cara tersebut, tambah Azman, kedua-dua pihak boleh mendapat manfaat di mana rakyat boleh terus mencari rezeki, manakala kerajaan negeri sebagai tuan tanah pula mendapat hak yang sepatutnya.
Teroka Secara Haram | Lebih 1,000 hektar tanah kerajaan di Terengganu diceroboh
#terengganu #Azman Ibrahim #teroka tanah kerajaan negeri #penerokaan tanah haram
;