"Leave Noor Jehan alone" - Tengku Hassanal Ibrahim

Firdaus Azil
Julai 26, 2022 13:09 MYT
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah melalui catatan di Instagram telah telah bertitah, baginda tidak mahu tercetus sebarang drama.
KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak melakukan siasatan terhadap Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang, Noor Jehan Abu Bakar.
Tengku Hassanal melalui catatan di Instagram telah bertitah, baginda tidak mahu tercetus sebarang drama.
Kenyataan terbaharu baginda timbul selepas media melaporkan, Noor Jehan, yang juga aktivis alam sekitar dan peguam telah dipanggil memberi keterangan kerana didakwa mempersoal kelewatan Tengku Hassanal dalam satu program di Terengganu, pada 18 Julai lepas.
“Saya baru mendapat tahu mengenai situasi (siasatan) ini, saya telah meminta polis untuk tidak mengganggu dia. Tolong jangan buat drama.
“Dia (Noor Jehan) berkata saya terlewat dua jam untuk program itu. Pagi itu saya sebenarnya tidak begitu sihat (kerana baru pulih daripada demam panas, bukan COVID-19), sebelum acara penanaman pokok itu, biarpun saya diminta hadir,” titah baginda lagi.
Media pada Isnin melaporkan Noor Jehan, telah hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, berhubung satu catatan di Twitter yang mempersoalkan kelewatan Pemangku Raja Pahang itu.
Noor Jehan mendakwa Tengku Hassanal Ibrahim serta beberapa pegawai terlewat dua jam ke Program Pemulihan Ekosistem Zon Penampan, iaitu acara penanaman pokok di Pantai Chendor, yang diadakan pada 18 Julai lepas.
Parti Aspirasi Sains Malaysia (SAINS) dalam satu kenyataan susulan berkata, Noor Jehan tidak melakukan apa-apa kesalahan dan seluruh parti bersolidariti bersamanya, serta menggesa pihak berkuasa untuk tidak melakukan intimidasi terhadap rakyat.
Dalam catatan selanjutnya pula, Tengku Hassanal Ibrahim memohon maaf kerana terlewat ke program tersebut.
“Saya tidak berasa sihat pagi itu, dan terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga demi kesejahteraan semua orang. Saya sangat menghargai keprihatinan dan masa anda. Terima kasih,” titah baginda lagi.
#tengku hassanal ibrahim #Noor Jehan Abu Bakar #menghasut #Twitter
;