Leap Summit 2021: Himpun idea kreatif, fokus pengalaman pelanggan
Ehsan A Marisah
November 26, 2021 14:28 MYT
November 26, 2021 14:28 MYT
KUALA LUMPUR: Komited mengajak lebih ramai pemain industri dalam negara mentransformasi perniagaan dengan teknologi terkini, TM ONE menganjurkan LEAP Summit 2021 dengan tema teknologi berteraskan insan atau “Human-Centered Technology”.
Pemangku Naib Presiden Eksekutif TM ONE, Shazurawati Abd Karim berkata, persidangan secara maya itu memfokuskan kepada usaha memenuhi keperluan pengalaman pelanggan dan memudahkan urusan pengguna.
“Tahun ini, kami berjaya berbincang tentang pelbagai ilmu dan informasi yang berpusat kepada cara mendekati pelanggan melalui transformasi dan reka bentuk proses. Kami juga berbincang tentang hala tuju digital melalui kecerdasan buatan (AI) dan cloud.
“Selain itu, soal jawab antara audien dan panel turut diadakan. Pelbagai soalan telah dibincangkan dan berharap apa yang telah dimajukan dalam persidangan ini dapat dimanfaatkan untuk kejayaan bersama,” katanya kepada pemberita di LEAP Summit 2021 TM ONE, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, tambah Shazurawati, persidangan itu turut menarik lebih ramai penyertaan dan mengetengahkan pelbagai perkongsian serta pengisian menarik serta padat.
“Kali ini kami berjaya menarik lebih 2,000 penyertaan dan kami sangat berbangga dengan rekod yang dicatatkan ini. Tahun ini ia tidak semata-mata hanya menekankan kepada teknologi sahaja.
“Malahan, kami menekankan juga untuk melihat operasi yang lebih efisien dan kepuasan pengalaman pelanggan pada tahap terbaik,” katanya.
Jelasnya lagi, persidangan tersebut diharap akan diteruskan pada masa akan datang dan ingin melihat lebih ramai pemain industri mengadaptasi perkembangan teknologi semasa.
“Kami akan teruskan acara ini pada masa akan datang. Dunia sentiasa berubah seiring digital, pemain industri perlulah sentiasa peka agar tidak terkebelakang dari segi pembangunan baharu.
“Pemain industri juga diharap mampu mengadaptasi dengan pelan-pelan transformasi yang kami ada, agar kebaikan dan kesenangan kepada pelanggan serta masyarakat dapat diterapkan,” ujarnya.
LEAP Summit adalah acara tahunan TM ONE yang menghimpunkan tokoh-tokoh industri antarabangsa dan tempatan untuk berkongsi trend teknologi terbaharu ke Malaysia.