Lazada Malaysia jalin kerjasama dengan Senheng
Asyraf Roslan
September 4, 2019 23:07 MYT
September 4, 2019 23:07 MYT
Siapa yang tidak suka membeli-belah, bukan?
Lebih-lebih lagi apabila semuanya di hujung jari anda.
Ini merupakan satu berita baik buat semua pembeli di Lazada kerana platform e-Niaga Lazada Malaysia telah berkolaborasi bersama jenama barangan elektrik Malaysia, Senheng.
Kolaborasi itu terjalin selepas kedua-dua syarikat itu memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU).
Kerjasama ini dilakukan menjelang jualan mega 9.9 Lazada selaras dengan komitmen syarikat e-Niaga itu untuk menyokong perniagaan Malaysia dan mengembangkan ekonomi digital tempatan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Lazada Malaysia, Leo Chow pemilihan Senheng sebagai rakan kongsi ini merupakan satu pendekatan yang sejajar degan misi Lazada untuk memupuk dan menyokong jenama dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia ( PKS ) tempatan.
“Kami berasa amat teruja bahawa Senheng telah memilih Lazada sebagai rakan kongsi yang diyakini untuk melonjakkan lagi pertumbuhan digital mereka. Pendekatan ini sejajar dengan misi kami untuk memupuk dan menyokong jenama dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (PKS) tempatan.
"Kami mempunyai keyakinan bahawa penyelesaian teknologi terhadap pasaran kami yang terpantas dan keupayaan logistik bakal menjadikan jenama tempatan kegemaran ini lebih dekat dengan rakyat Malaysia di seluruh negara,” jelasnya.
Pengarah Urusan Senheng Malaysia, Lim Kim Heng berkata Senheng melihat Lazada sebagai rakan e-Niaga yang sangat sesuai dalam menerajui pengembangan syarikat itu.
"Menerusi perkongsian ini, kami berupaya mengembangkan tawaran nilai utama kami, seperti jaminan 1 tahun tambahan merentas asas pelanggan Lazada yang meluas, bagi memantapkan perniagaan kami di barisan hadapan ekonomi digital," katanya.
Pemeteraian MoU berlangsung menjelang Big Discovery Sale Lazada 9.9, yang diraikan serentak dengan sambutan ulang tahun pertama LazMall di Malaysia.
Big Discovery Sale 9.9 menawarkan para pelanggan lebih keterlihatan dan masa untuk mengetahui aneka tawaran yang meluas menerusi pelbagai dimensi pengalaman beli-belah.
Tema Discovery tersebut juga diperluas secara luar talian ke 20 kedai Senheng terpilih di Lembah Kelang. Pelanggan boleh “memburu” tawaran dengan mencari logo hati Lazada yang mempunyai kod QR di kedai-kedai mulai 4 September 2019.
Para pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR dengan menggunakan fungsi Scan menerusi aplikasi Lazada untuk mengumpulkan baucar Senheng yang boleh ditebus pada 9 September 2019 ketika jualan mega 9.9 berlangsung.