'Layanan Malaysia ibarat saudara, tapi kami rindu Gaza' - Rakyat Palestin
Madiha Abdullah
September 5, 2024 13:50 MYT
September 5, 2024 13:50 MYT
KUALA LUMPUR: “Segera tamatkan perang, kami mahu pulang dan berbakti di tanah air".
Itu luahan warga Palestin yang kini menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Malaysia Tuanku Mizan (HATM), yang nyata tidak putus harapan agar keamanan kembali ke bumi anbiya itu.
Nada mereka ceria ketika bercerita mengenai rawatan dan layanan yang diterima di negara ini, namun ia pantas berubah tatkala ditanya tentang apa yang dibayangkan selepas ini.
Jelas apa yang diimpikan mereka ialah kembali menikmati kehidupan bersama keluarga di kampung halaman, namun realitinya impian itu seakan-akan masih kabur.
Banan Salmi, bertugas sebagai peguam di Palestin, namun serangan Israel bukan sahaja membuatkan dia kehilangan sebelah kaki, malah turut menyebabkan ibu dan bapa saudaranya syahid.
Kata Banan, Palestin bukan sahaja berdepan krisis kemanusiaan dengan ketiadaan bekalan asas seperti elektrik, air bersih dan makanan, malah peperangan telah menafikan hak kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan.
"Saya sedih... bukan sahaja kerana kehilangan ramai ahli keluarga dan sahabat kerana perang, tetapi apabila melihat kanak-kanak Palestin tidak berpeluang untuk belajar.
"Pendidikan itu sangat penting tetapi kanak-kanak ini tidak ada langsung peluang itu," katanya sambil memaklumkan rancangannya menyambung pelajaran di peringkat sarjana di Malaysia.
Di sebalik penderitaan yang dilalui, Banan masih mampu menyimpul senyuman yang menyimpan seribu harapan, menanti perang tiba ke penghujung.
"Selain doa, kekuatan kami adalah harapan. Selagi adanya harapan untuk perang tamat, kami akan terus kuat," katanya yang sedang menantikan kaki palsu.
Bagi Mohamad Sufian, kerinduannya tidak bertepi terhadap isteri dan tiga anak yang sehingga kini tidak diketahui nasib mereka.
"Semenjak datang ke Malaysia, saya belum dapat hubungi mereka memandangkan talian internet di sana sangat teruk.
"Memang rindu nak balik dan peluk cium mereka. Tetapi dalam keadaan sekarang, saya hanya mampu berserah kepada Allah," katanya yang cedera di muka dan paru-paru akibat terkena serpihan bom.
Menyifatkan Malaysia saudara kepada Palestin, Sufian berterima kasih atas rawatan dan layanan baik yang diberikan.
"Malaysia dan Palestin ibarat saudara. Saya ucapkan terima kasih kerana menerima kehadiran kami di sini dan merawat kami dengan baik," katanya lagi.
Sementara itu, Rania Abdul berharap kerajaan Malaysia dapat membantu membawa anak dan suaminya yang masih berada di Gaza untuk mendapatkan rawatan di Malaysia.
Anak tunggalnya mengalami kecederaan parah namun tidak dapat dibawa bersama ke Malaysia.
"Semasa roket Israel membedil rumah kami, tiga ahli keluarga saya syahid. Saya mengalami kecederaan di muka dan patah kaki kanan.
"Anak dan suami saya masih di sana, jadi saya mohon jasa baik Malaysia dan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim untuk bawa mereka ke sini untuk menerima rawatan," katanya.
Lahir dan membesar di Gaza, Rania tidak dapat menahan sebak mengenangkan tanah tumpah darahnya itu yang kini saban hari bermandi darah.
"Tak ada kata untuk menggambarkan betapa saya sangat sayangkan Gaza. Ia sebuah bandar yang sangat cantik. Saya harap perang akan segera tamat," katanya.
Seorang lagi pesakit, Zain Suhail, baru berusia sembilan tahun namun dalam usia semuda itu, dia sudah diuji untuk memahami apa itu kepayahan dan penderitaan.
Tidak cukup dengan penyakit buah pinggang yang dihidapi, Zain terpaksa menerima hakikat tidak dapat melalui zaman kanak-kanak dengan riang kerana kekejaman Zionis.
Ditemani ibunya, Nisrin Saad, Zain kelihatan ceria menerima kehadiran wartawan yang memenuhi wad tersebut.
Keletahnya yang 'merujuk' ibunya setiap kali sebelum mengatur ayat menjawab soalan, mencuit hati ramai.
"Saya seronok di sini. Saya menerima rawatan dengan baik, dapat makan makanan yang sedap dan dapat bermain," katanya yang cukup teruja apabila mengetahui akan dibawa ke Malaysia untuk mendapat rawatan.
"Saya tahu tentang Malaysia dari internet. Saya teruja nak datang ke sini, dan ini pengalaman pertama saya menaiki kapal terbang.
"Perjalanan jauh tetapi saya tidak kisah," katanya yang perlu menjalani rawatan dialisis akibat kegagalan buah pinggang.
Nisrin pula memaklumkan, dia pada awalnya bimbang untuk datang ke Malaysia, namun segala kerisauannya hilang sebaik tiba di sini.
"Kami disambut dengan baik, rawatan juga bagus. Saya gembira kerana anak saya dapat menerima rawatan yang sepatutnya," katanya yang turut membawa bersama empat anaknya yang lain.
Ditanya apa yang paling dirindui di Gaza, Zain pantas menjawab: "bapa saya".
"Saya mahu jumpa bapa saya. Saya rindukannya. Saya harap dia datang ke sini dan bawa kami balik," katanya lagi.