Layanan istimewa semasa suntikan COVID-19 tidak akan berulang - Uggah
Bernama
Mei 20, 2021 17:44 MYT
Mei 20, 2021 17:44 MYT
KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberi jaminan isu memotong giliran dan layanan istimewa semasa menerima suntikan COVID-19 tidak akan berulang di negeri ini.
Ia berikutan tular dalam laman sosial dan portal berita semalam memaparkan gambar isteri seorang kenamaan di negeri ini yang didakwa memotong giliran di laluan Orang Kurang Upaya (OKU) di pusat vaksinasi di Stadium Perpaduan di sini.
"Kita harap apa yang berlaku beberapa hari lepas tidak akan berlaku lagi, pihak pengurusan (pusat vaksinasi) memberi jaminan kepada saya. Kami memohon maaf atas isu memotong barisan ini.
"Kita sudah ada sistem, sistem itu mampu memastikan pergerakan proses vaksinasi dilaksanakan seperti dirancang," katanya kepada pemberita di stadium berkenaan hari ini.
Beliau berkata proses vaksinasi dan aliran di stadium itu sudah diperbaiki selepas beberapa isu dibangkitkan baru-baru ini.
"Sistem itu sama sekali berbeza dengan sebelumnya, ia kini tersusun dan teratur dengan papan tanda lebih jelas. Sebelum ini, stadium itu sesak tanpa penjarakan fizikal. Jadi, kita akan bawa sistem baharu ini ke pusat vaksinasi lain di negeri ini," katanya.
-- BERNAMA
#Sarawak
#Douglas Uggah Embas
#potong giliran
#suntikan vaksin
#COVID-19
#isteri orang kenamaan
#mohon maaf
#tidak akan berulang