Layanan berahi tukang urut terbantut
Sinar Harian
Jun 22, 2018 15:20 MYT
Jun 22, 2018 15:20 MYT
Keasyikan pelanggan melayani urutan berahi wanita warga asing terbantut apabila premis di Taman Desawan, di sini, diserbu dalam Ops Noda, awal pagi tadi.
Serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan hasil maklumat dan risikan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata seramai enam wanita berusia lingkungan 20 hingga 30-an membabitkan penjaga premis dan tukang urut ditahan.
“Semakan mendapati seorang daripada mereka adalah warga tempatan manakala selebihnya melibatkan warga Indonesia dan Vietnam.
“Pemeriksaan menemui tisu dan tuala yang dipercayai digunakan untuk aktiviti tidak bermoral,” katanya.
Beliau mendedahkan bayaran untuk setiap kali urutan adalah lingkungan RM50 hingga RM100 bergantung kepada pakej yang diberikan.
Malah, bagi mengelakkan premis yang diawasi kamera litar tertutup (CCTV) ini mudah diserbu pihak berkuasa, terdapat tiga lapisan pintu besi yang dikunci dari dalam selain mempunyai laluan rahsia untuk melarikan diri.
“Kita terpaksa mendapatkan bantuan pasukan bomba dari Balai Andalas untuk membuka pintu besi itu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen dan Seksyen 39B Akta Imigresen.
#aktiviti tidak bermoral
#CCTV
#Imigresen
#Shamsul Amar Ramli
#Taman Desawan
#urutan berahi
#wanita warga asing