Lay Hong beri kerjasama penuh kepada DVS berkaitan penemuan SE pada telur

Bernama
Mac 14, 2021 22:11 MYT
Kumpulan telah bersetuju dengan DVS untuk menggantung operasi di ladang Jeram 1, pengeluaran dari ladang itu kebanyakannya dieksport ke Singapura. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Lay Hong Bhd akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) di Malaysia dan merancang untuk memperkukuhkan amalan kawalan serta pemantauan ladang berikutan penemuan Salmonella Enteritidis (SE) dalam telur yang dieksport dari salah satu ladangnya di Jeram, Selangor.
"Keutamaan kami adalah keselamatan pelanggan kami. Kami kini bekerjasama erat dengan DVS bagi menyiasat dan memantau ladang yang didakwa terlibat dengan penemuan SE itu," kata Pengarah Eksekutifnya, Datuk Yap Chor How.
Kumpulan telah bersetuju dengan DVS untuk menggantung operasi di ladang Jeram 1, pengeluaran dari ladang itu kebanyakannya dieksport ke Singapura.
"Operasi di ladang Jeram 1 kektika ini dihentikan daripada pasaran domestik dan eksport sementara menunggu siasatan oleh DVS selesai," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata Lay Hong memberi jaminan bahawa tiada telur yang akan dijual dari ladang Jeram 1 dan kumpulan itu hanya akan menyambung semula bekalan telur dari ladang tersebut selepas siasatan mengenainya selesai.
Buat masa ini, semua ladang lain di Jeram (ladang Jeram 2 hingg 6) telah diuji negatif untuk Salmonella dan ladang itu dibahagikan kepada ladang satelit yang lebih kecil dan terpisah antara satu sama lain secara fizikal walaupun berada di Jeram.
"Setiap ladang satelit ini memiliki peralatan penggredan imtuk menangani pencemaran antara ladang-ladang itu. Semua langkah pencegahan ini telah dijalankan selama bertahun-tahun untuk memastikan bekalan telur kami tidak terjejas sekiranya satu daripada ladang berkenaan tercemar.
"Langkah tersebut membolehkan kami terus membekalkan telur kami dari ladang lain kepada pelanggan kami," kata Yap.
Beliau berkata Lay Hong akan memantapkan proses pertanian syarikat dan yakin dapat mengatasi insiden tersebut dengan kawalan dan pemantauan yang lebih teliti pada masa depan.
Semalam, empat pengimport di Singapura telah diarahkan untuk menarik balik dari pasaran telur yang dihasilkan di Lay Hong Bhd Layer Farm di Jeram, Malaysia berikutan penemuan SE dalam produk itu yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan sekiranya dimakan secara mentah atau kurang masak.
-- BERNAMA
#telur ayam #Lay Hong #DVS #abatan Perkhidmatan Veterinar #Salmonella Enteritidis #Singapura #siasatan #menggantung operasi #ladang ayam #jeram 1
;