'Lawatan Sultan Ibrahim pemangkin hubungan lebih kukuh' - Speaker Parlimen Singapura
Firdaus Azil
Mei 7, 2024 18:31 MYT
Mei 7, 2024 18:31 MYT
SINGAPURA: Di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaku Sultan Johor, hubungan negeri itu dengan Singapura semakin kukuh, khususnya dari segi ekonomi dan hubungan antara rakyat.
Speaker Parlimen Singapura, Seah Kian Peng dalam ucapan alu-aluannya sempena Sultan Ibrahim mencemar duli melihat dewan bersidang pada Selasa berkata, hubungan erat itu yang dipupuk sejak berzaman itu, semakin jelas sewaktu kedua-dua negara melalui pandemik COVID-19.
Beliau berkata, Seri Paduka Baginda memang dikenali sebagai penyokong kuat dalam merapatkan hubungan antara rakyat.
“Di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda selaku Sultan Johor, hubungan antara Singapura dan Johor semakin kukuh, dan ini dibuktikan sewaktu pandemik COVID-19, apabila kedua-dua pemerintah bekerjasama erat untuk memastikan bekalan tidak terganggu di sempadan.
“Lawatan Seri Paduka Baginda hari ini sangat tepat masanya. Hubungan bilateral kuat dan kukuh. Pertukaran di peringkat politik dan peringkat rasmi semakin kerap, termasuk kita menjadi hos kepada Ahli Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana,” katanya lagi.
Selain itu Seah berkata, terdapat banyak lagi projek dalam perancangan seperti Sistem Transit Aliran (RTS) Johor Bahru-Singapura serta Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, serta perancangan di masa akan datang dalam sektor tenaga.
“Tahun ini, kita bakal meraikan ulang tahun ke seratus Causeway, dan tahun hadapan kita akan meraikan 60 tahun hubungan diplomatik dengan Malaysia.
“Saya yakin kedatangan Seri Paduka Baginda hari ini bakal menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih kukuh di antara Singapura dan Malaysia. Kami sangat berbesar hati menerima kehadiran Seri Paduka Baginda ke Parlimen kita,” katanya lagi.