Lawatan rasmi PM ke luar negara jana potensi pelaburan RM353.6 bilion pada 2023, RM77.58 bilion dari Januari-Mei 2024
Bernama
Julai 10, 2024 23:42 MYT
Julai 10, 2024 23:42 MYT
KUALA LUMPUR: Hasil lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke beberapa negara berjaya menjana nilai potensi pelaburan berjumlah RM353.6 bilion pada 2023 dan RM77.58 bilion dari Januari sehingga Mei 2024.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Perdana Menteri terlibat dalam 31 lawatan rasmi dan lawatan kerja ke 19 negara dari November 2022 sehingga Mei 2024.
"Antara negara yang dilawati Perdana Menteri dan delegasi kerajaan adalah Arab Saudi, Australia, Brunei, Emiriah Arab Bersatu, Filipina, Indonesia, Jepun, Jerman, Kazakhstan, Kemboja, Mesir dan Laos.
"Selain itu adalah China, Singapura, Thailand, Turkiye, Uzbekistan, Vietnam dan Qatar. Ini termasuk menghadiri persidangan dan mesyuarat berjadual di peringkat antarabangsa yang turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin dunia," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang ingin tahu perincian lawatan rasmi Perdana Menteri dan jumlah pelaburan yang berjaya dibawa ke Malaysia.
Zaliha berkata misi dan tujuan lawatan rasmi dan lawatan kerja Anwar, antaranya bagi meyakinkan kalangan bakal pelabur untuk melabur di Malaysia di samping memperkukuh, mendalami, memperluas kerjasama dua hala di antara Malaysia dan negara-negara itu serta memupuk persefahaman yang lebih jitu di antara kedua-dua negara.
Selain itu, katanya tujuan lawatan Anwar adalah bagi mengerat dan menyemarakkan hubungan diplomatik serta kerjasama dengan negara-negara terlibat sekali gus memposisikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip ekonomi yang telus dan terbuka.
"Sebagai contoh, hubungan diplomatik dan kerjasama erat Malaysia-China yang kini mencecah 50 tahun telah dizahirkan menerusi pemeteraian perjanjian persefahaman serta persepakatan dalam pelbagai sektor ekonomi yang mana akan memberi kesan serta impak positif terhadap pembangunan ekonomi negara," katanya.
-- BERNAMA