Lawatan rasmi PM ke China dijangka teroka kerjasama pelbagai bidang baharu

Irfan Faruqi
Mac 25, 2023 17:53 MYT
Zhang berkata ketika ini hubungan antara Malaysia dan China sangat baik - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China, dijangka memberi tumpuan kepada meneroka kerjasama dalam pelbagai bidang baharu.
Wartawan Kumpulan Media China (CMG), Zhang Hong berkata kerajaan kedua-dua negara yang mendapat mandat baharu itu mungkin menumpukan kepada bidang pelancongan, kesihatan dan pendidikan.
Ketika ini hubungan antara Malaysia dan China sangat baik berdasarkan kepada kadar pertukaran pelajar dalam pelbagai bidang pendidikan. Dalam masa yang sama, tindakan Malaysia yang menerima pelancong China dengan tangan terbuka pasca pandemik menunjukkan hubungan erat antara kedua-dua negara.
Selain itu, tumpuan juga mungkin diberikan kepada usaha China untuk menjadi peneraju gagasan Ketamaduan Global yang diumumkan oleh Presiden China, Xi Jinping, baru-baru ini. Perihal yang mungkin di sentuh adalah soal mewujudkan keamanan rantau yang lebih mampan.
"Sekarang kalau kita tahu China memulakan satu kaedah baharu untuk membangunkan menjadi sebuah negara moden. Mewujudkan modenisasi ala China. Malah Malaysia ada perkara yang sama iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).
"Ini akan menjadi sasaran bersama kedua pihak untuk menyelaraskan pembangunan dan meneroka kerjasama dalam bidang baharu," katanya dalam program Fokus Minggu Depan terbitan Astro AWANI.
Zhang Hong juga berkata, situasi ekonomi pasca pandemik memberi pengajaran besar berkaitan kerjasama antarabangsa dalam bidang kesihatan dan pertukaran maklumat yang berkesan.
Oleh yang demikian, beliau menjangkakan bidang sains, teknologi dan inovasi juga mungkin akan diberikan tumpuan.
"Kita mesti tingkatkan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi dan inovasi sebagai jaminan pembangunan ekonomi pada masa depan," ujarnya.
#Anwar Ibrahim #China #Xi Jinping #ekonomi #kesihatan #pendidikan #pelancongan
;