Lawatan rasmi PM Anwar ke Laos untuk eratkan hubungan Kuala Lumpur-Vientiane - Zambry

Bernama
Jun 26, 2023 13:40 MYT
Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengadakan sidang media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selama dua hari bermula hari ini. - Foto BERNAMA
VIENTIANE: Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Laos bermula hari ini dijangka dapat mengukuhkan hubungan antara Kuala Lumpur dan Vientiane berdasarkan kepada kedudukan Laos sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.
Lawatan sulung Anwar ke negara dikelilingi daratan itu adalah atas undangan rakan sejawatannya dari Laos, Dr Sonexay Siphandone semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Labuan Bajo, Indonesia bulan lepas.
Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam sidang akhbar menjelang lawatan itu berkata lawatan Anwar ke Laos, yang pertama dalam kalangan pemimpin Malaysia sejak 2016 adalah penting kerana Malaysia akan mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, selepas Laos.
"Lawatan Perdana Menteri ke Laos akan beri peluang kepada pemimpin kedua-dua negara untuk bina momentum positif sebelum Laos mengambil alih Kepengerusian ASEAN dari Indonesia," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Ini merupakan lawatan rasmi ketujuh Anwar ke negara-negara anggota ASEAN sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov tahun lalu, selepas berkunjung ke Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand, Filipina dan Kemboja.
Perdana Menteri dijangka tiba di sini petang ini, ditemani isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan akan disambut oleh Ketua Pejabat Perdana Menteri Laos Alounxay Sounnalath.
Zambry berkata Anwar akan memulakan lawatannya dengan bertemu pemimpin Pertubuhan Islam di sebuah hotel di sini untuk membincangkan isu Ummah. Terdapat kira-kira 900 orang Islam di Laos.
Pada hari kedua lawatan, Anwar akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Siphandone dengan kedua-dua pemimpin itu dijangka membincangkan pelbagai pendekatan bagi mengukuhkan hubungan Malaysia dan Laos serta kerjasama ekonomi kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin itu kemudiannya akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Lao National Railway State Enterprise (LNRSE) serta Mutiara Perlis Sdn Bhd (MPSB) dan Thanaleng Dry Port (TDP).
Zambry berkata Anwar dan Siphandone juga akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Electricite du Lao (EDL).
Semasa lawatan itu, Perdana Menteri juga akan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Laos Dr Thongloun Sisoulith di Istana Presiden dan Presiden Dewan Negara Laos Dr Xaysomphone Phomvihane di bangunan Dewan Negara.
Anwar juga akan bertemu dengan rakyat Malaysia di sana dalam jamuan hi-tea di Kedutaan Malaysia di sini dan beliau juga akan merasmikan bangunan kedutaan di ibu negara Laos.
Zambry berkata jumlah perdagangan antara Malaysia dan Laos melonjak sebanyak 425 peratus daripada AS$48.7 juta (RM202.5 juta) pada 2021 kepada AS$255.6 juta (RM1.13 bilion) pada 2022, yang kebanyakannya disumbangkan oleh peningkatan permintaan terhadap produk elektronik Malaysia.
Malaysia merupakan penyumbang Pelaburan Langsung Asing (FDI) keempat terbesar Laos tahun lepas selepas China, Thailand dan Vietnam, terutamanya dalam sektor tenaga, zon perdagangan bebas, automotif dan sektor perbankan.
Malaysia dan Laos menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1 Julai 1966.
-- BERNAMA
#lawatan rasmi #Anwar Ibrahim #laos #Zambry Abdul Kadir
;