Lawatan rasmi PM Anwar ke Australia simbolik hubungan dua hala melalui pelbagai platform
Nursyazwani Saiful Sham
Mac 3, 2024 14:56 MYT
Mac 3, 2024 14:56 MYT
MELBOURNE: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Australia menandakan simbolik penting hubungan dua hala di antara Malaysia dan negara itu melalui pelbagai platform.
Lawatan rasmi yang bermula 4 hingga 7 Mac ini dijangka membuahkan hasil yang ketara dalam perjanjian dua hala, membabitkan memorandum persefahaman dan inisiatif bersama yang akan mengukuhkan lagi dinamik perkongsian di antara kedua-dua negara.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Sharrina Abdullah, Malaysia bersedia mempamerkan kepelbagaian dari segi warisan dan budaya serta kehebatan ekonomi.
“Pada sama sama hubungan dua hala ini menyediakan peluang untuk menyerlahkan peluang yang pelbagai untuk kerjasama dan perkongsian antara perniagaan Malaysia dan Australia, institusi akademik, dan organisasi kebudayaan.
“Hubungan Malaysia dan Australia diperkukuhkan dengan komitmen berterusan oleh kedua-dua negara dan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Australia (CSP) yang ditubuhkan pada 2021.
“Lawatan ini turut mempamerkan keazaman kedua-dua negara untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang utama yang mempunyai kepentingan strategik dan komitmen bersama untuk memperdalam hubungan diplomatik, ekonomi dan budaya antara Malaysia dan Australia,” katanya dalam sidang media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Melbourne pada Ahad.
Dalam lawatan ini, Anwar akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tahunan antara Pemimpin Malaysia – Australia kali kedua (ALM) pada 4 Mac 2024 di Melbourne.
Perdana Menteri juga akan menyertai Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia pada 5 dan 6 Mac 2024 di sana.
Semasa ALM, kedua-dua pemimpin akan memperhalusi kerjasama di bawah kerangka Kerjasama Komprehensif Strategik, termasuk dalam sektor perdagangan dan pelaburan, pendidikan, ekonomi digital, dan keselamatan siber.
Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia dianjurkan sempena Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Australia.
Ia merupakan penanda aras yang penting dalam hubungan ASEAN-Australia, susulan penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Australia pada 2021.
Para pemimpin Negara Anggota ASEAN dan Australia juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, antara lain berhubung isu Palestin.
Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antaranya membabitkan kerjasama dalam pendidikan tinggi, sukan, keselamatan siber, serta bidang sains dan teknologi.
Anwar kemudian akan ke Canberra pada 7 Mac untuk menyampaikan syarahan umum di Australian National University (ANU) dan bertemu Gabenor Jeneral Australia David Hurley.