Lawatan rasmi Muhyiddin ke Indonesia berakhir dengan persetujuan bersama
Astro Awani
Februari 5, 2021 21:45 MYT
Februari 5, 2021 21:45 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan lawatan rasminya ke Indonesia amat bermakna dalam mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.
Lawatan itu jelas beliau, berakhir dengan beberapa persetujuan bersama dicapai yang akan memacu hala tuju hubungan kerjasama Malaysia dan Indonesia ke tahap lebih tinggi.
"Pertemuan bersama Bapak Jokowi pada sesi 'veranda talk' merupakan satu lagi pendekatan baharu arena diplomasi antarabangsa dalam situasi pandemik COVID-19.
"Pada sesi itu, saya membangkit dan mencadangkan langkah ke hadapan dalam beberapa isu seperti pelaburan dan perdagangan, pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), diskriminasi minyak sawit dan kerjasama dalam menangani pandemik COVID-19 serta pergolakan politik semasa di Myanmar," katanya melalui hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat.
Bagi pihak Malaysia, Perdana Menteri merakamkan ucapan terima kasih kepada pemerintah Indonesia, khususnya Presiden Joko Widodo atas sambutan amat luar biasa yang diberikan walaupun dalam keadaan pematuhan ketat protokol kesihatan akibat pandemik COVID-19.
"Lawatan ini, pada saya sangat bermakna apabila dua pemimpin utama negara dapat berbual dan berbincang secara bersemuka selama empat jam dalam satu lawatan rasmi, yang tentunya memberi banyak ruang untuk kami mengorak langkah meningkatkan hubungan sedia ada ke peringkat lebih tinggi atau lebih strategik," tambahnya.
Berbanding perbincangan secara persidangan video, perbualan itu kata Muhyiddin, lebih mesra dan konstruktif.
"Malah beliau meminta saya sentiasa berhubung dengannya bagi membincangkan apa-apa isu berkaitan kepentingan kedua-dua negara," ujarnya.
Pada lawatan itu, Perdana Menteri juga menunaikan solat Jumaat bersama Jokowi di Masjid Baiturrahim yang terletak di pekarangan kompleks Istana Merdeka.
"Selepas solat, Bapak Jokowi dan saya berjalan kaki dari masjid ke dewan makan untuk memberi lebih ruang kepada kami terus berbincang mengenai hal-hal berkaitan kerjasama antara kedua-dua negara dalam suasana lebih santai. Semoga silaturahim Malaysia-Indonesia terus kukuh. Terima kasih Bapak Presiden!," kata Muhyiddin.
#Muhyiddin Yassin
#Joko Widodo
#Indonesia
#Malaysia
#COVID-19
#Perdana Menteri
#Jokowi
#lawatan rasmi