Lawatan rasmi: Anwar tiba di Bangladesh

Bernama
Oktober 4, 2024 17:00 MYT
Anwar (kiri) disambut oleh Ketua Penasihat Kerajaan interim Bangladesh, Dr Muhammad Yunus ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal sempena lawatan rasmi ke Bangladesh hari ini. - Foto Bernama
DHAKA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini untuk lawatan rasmi bagi membuka laluan kepada hubungan lebih erat antara Malaysia dan Bangladesh.
Pesawat yang membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal pada 2 petang waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia).
Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh Dr Muhammad Yunus berada di lapangan terbang bagi menyambut ketibaan Perdana Menteri, bersama dengan para Penasihat Bangladesh dan pegawai-pegawai kanan kerajaan Bangladesh, serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh Haznah Md Hashim.
Anwar diberikan sambutan permaidani merah termasuk tembakan meriam 19 kali serta kawalan kehormatan oleh anggota Angkatan Tentera Bangladesh.
Lawatan ini yang dilakukan selepas lawatan negara Anwar selama tiga hari ke Pakistan, akan menyaksikan Perdana Menteri mengadakan mesyuarat dua hala dengan pemenang hadiah Nobel Muhammad Yunus untuk berbincang dan mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Bangladesh, di samoping mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.
Anwar juga dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Mohammed Shahabuddin sebelum berlepas ke Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu Haznah dalam sidang media berkata ini adalah lawatan pertama oleh ketua kerajaan asing sejak pembentukan kerajaan interim yang diketuai oleh pemenang hadiah Nobel Muhammad Yunus.
"Lawatan ini mengimbau sejarah eratnya hubungan antara kedua-dua negara, kerana Malaysia merupakan negara Islam pertama yang mengiktiraf kemerdekaan Bangladesh pada 31 Jan 1972," katanya.
Pada lawatan ini, Anwar diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Pada 2023, Bangladesh adalah rakan dagangan ke-27 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-19 terbesar dan sumber import ke-47 terbesar, menjadikannya rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.
Tahun lepas menyaksikan jumlah dagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM12.7 bilion (AS$2.78 bilion).
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #tiba di Dhaka #lawatan rasmi #Bangladesh
;