Lawatan Raja Salman 'tutup mulut' pengkritik PM Najib - Syed Ali

Astro Awani
Februari 27, 2017 23:08 MYT
SYED ALI: Lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia merupakan satu pengiktirafan terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib. - Gambar fail
Lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia merupakan satu pengiktirafan terhadap pentadbiran kerajaan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, lawatan rombongan diraja Arab Saudi itu membuktikan kepimpinan Datuk Seri Najib bukan sahaja diperakui oleh dunia luar malah mendapat pengiktirafan negara Islam khususnya Arab Saudi.
"Kedatangan Raja Salman atas undangan Yang Dipertuan Agong ke-15, Sultan Mohammad ke-V sekaligus akan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara kedua negara.
"Pelbagai perkara membabitkan kepentingan serantau dan dunia Islam pasti menjadi agenda utama dalam pertemuan tersebut. Saya yakin, Perdana Menteri akan membangkitkan beberapa perkara yang membabitkan kepentingan rakyat dan umat Islam khususnya termasuk soal kuota haji.
"Secara peribadi, saya melihat lawatan Raja Salman membuktikan baginda mengiktiraf pentadbiran kerajaan yang diketuai oleh Najib," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Jelas Syed Ali, lawatan diraja itu turut menutup mulut pengkritik Najib yang sebelum ini membuat dakwaan kononnya Arab Saudi tidak menyenangi Malaysia atas beberapa isu yang telah dipolitikkan.
Justeru Syed Ali mahu semua pihak terutama pihak pembangkang melihat kunjungan pemerintah tertinggi Arab Saudi itu sebagai amat penting untuk pembangunan negara.
"Raja Salman datang ke Malaysia kerana baginda menghormati sistem pemerintahan negara ini yang memberi perhatian utama terhadap pembangunan umat Islam walaupun penduduknya pelbagai kaum dan agama," tegasnya.
Bagi pihak UMNO Bahagian Cheras katanya, kedatangan Raja Salman yang juga Penjaga Dua Masjid Suci iaitu Masjidilharam di Mekah dan Nabawi (Madinah) merupakan sejarah baru kepada negara ini.
"Ianya satu penghormatan tertinggi kepada pemimpin dan negara kita, sudah semestinya rakyat Malaysia amat berbangga dengan lawatan Raja Salman," tegasnya.
Ini adalah lawatan sulung Raja Salman ke beberapa negara rantau Asia dan Malaysia menjadi distinasi pertama baginda.
Raja Salman melakukan lawatan ke Malaysia atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bermula semalam sehingga 1 Mac ini.
#Datuk Seri Najib Tun Razak #Datuk Seri Syed Ali Alhabshee #Raja Salman Abdulaziz al-Saud
;