Lawatan PM Najib ke AS tradisi berzaman pemimpin negara - WeMalaysia

Astro Awani
September 13, 2017 11:00 MYT
Lawatan kerja Datuk Seri Najib ke Amerika Syarikat adalah tradisi yang diteruskan dari zaman Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman. - fotoBERNAMA
Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Washington, Amerika Syarikat (AS) adalah tradisi yang diteruskan dari zaman Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman pada tahun 1964 lagi.
Bagaimanapun kata Koordinator WeMalaysia-AS Nasnoor Juzaily Bin Mohd Nasiruddin, lawatan kerja Najib kali ini lebih bermakna memandangkannya di atas jemputan Presiden AS, Donald Trump dalam tahun pertama kepimpinannya.
"Ini menunjukkan betapa pentingya Malaysia dalam dasar luar AS terutama sebagai rakan dagangan penting dan negara yang strategik di rantau Asia Tenggara.
"Dalam lawatan kerja ini juga, kerjasama dalam hal ehwal keselamatan, perdagangan dan pendidikan akan diperkukuhkan serta ditambah baik di antara kedua-dua buah negara," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
BACA: Presiden Trump puji pendirian PM Najib tentang antikeganasan
BACA: Presiden Trump, PM Najib berbincang di White House
Jelas Nasnoor lagi, Malaysia adalah sebuah negara yang berkedudukan strategik di Asia Tenggara semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka.
"Kemerdekaan negara yang dicapai pada tahun 1957 membuka jalan kepada penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan AS.
"Penubuhan Malaysia pada tahun 1963 pula telah mempertingkatkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, politik dan sosial.
"Kedamaian, kestabilan dan kemajuan yang telah dicapai negara sejak 60 tahun yang lalu turut menyumbang kepada pengukuhan hubungan diplomatik yang dinaik taraf kepada comprehensive partnership pada tahun 2014," ujarnya.
Katanya lagi, WeMalaysia-AS juga menyokong penuh dan menghargai usaha Datuk Seri Najib dalam mengetengahkan nama Malaysia di peringkat global melalui lawatan rasmi ke AS.
"Ia sejajar dengan warkah perjuangan negara dalam mencapai Misi Transformasi Nasional 2050 (TN 50)," jelasnya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden WeMalaysia Australia, Nur Naqiuddin Mdd Nordin berkata, pertemuan Datuk Seri Najib dengan Trump mencipta sejarah tersendiri dan pasti menjadi tumpuan seluruh dunia.
"Hubungan dua buah negara, Malaysia dan AS diwarisi sejak dahulu dan diteruskan sehingga hari ini dalam bentuk kerjasama bilateral - ekonomi, pendidikan, kesihatan dan banyak lagi sektor menyumbang pertumbuhan ekonomi dua buah negara tersebut.
"Pada kaca mata anak muda, ini merupakan usaha menerokai peluang baru kepada negara mencipta kejayaan dan menjadi landasan untuk menyampai mesej penting perdana menteri kepada pemimpin nombor satu dunia itu.
"Sesuatu yang menarik, pertemuan ini pasti akan memberi peluang kepada perdana menteri menyatakan pendirian negara berkaitan isu-isu antarabangsa seperti keamanan dan kemanusiaan seterusnya membina kepercayaan negara Uncle Sam itu meneruskan keyakinan terhadap negara dalam pelaburan pada masa kini dan akan datang," jelasnya.
Tambahnya, menjadi hasrat semua melihat hubungan diplomasi itu diteruskan dengan mengambil kira kepentingan bersama dan diperkukuhkan dengan kepercayaan dan memahami antara satu sama lain.
Dalam perkembangan berasingan, Nur Naqiuddin berkata, kolaborasi Kemerdekaan WeMalaysia di Australia dengan program kemerdekaan bersama pertubuhan pelajar Malaysia melalui pendekatan setiap kordinator WeMalaysia di New South Wales, Queensland, Western Australia, Victoria dan South Australia diberi peluang melaksanakan aktiviti mengikut kesesuaian di kawasan masing-masing seiring menzahirkan semangat kemerdekaan - Negaraku, Sehati Sejiwa di kalangan anak muda yang menuntut di luar negara.
"Bersesuaian dengan bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia yang bakal tiba, pertemuan dua pemimpin ini bertepatan dengan aspirasi negara melihat kemerdekaan bukan sahaja pada aspek menghargai apa yang tercatat dalam sejarah.
"Malahan lebih dari itu berusaha meletakkan Malaysia di pentas dunia setanding dengan negara maju berusaha melakar sejarah tersendiri dan bersama mencipta banyak kejayaan.
"Walau apa pun hasil daripada pertemuan terbabit, rakyat diseru mendoakan yang terbaik agar negara kita akan terus berjaya di persada dunia," katanya.
Pelajar-pelajar Malaysia di USA mengucapkan selamat datang kepada Datuk Seri Najib ke Amerika Syarikat. - Sumber YouTube WeMalaysia
WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara.
Sehingga kini, WeMalaysia mempunyai cawangan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK).
#Amerika Syarikat #AS #Donald Trump #lawatan kerja #Najib Razak #Washington #WeMalaysia
;