Lawatan PM ke Turki buka ruang lebih banyak pelaburan, kerjasama isu umat Islam

Madiha Abdullah
Julai 2, 2022 21:16 MYT
Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Turki minggu depan pasti akan membuka lebih banyak ruang kerjasama. - Bernama
KUALA LUMPUR: Dengan keadaan ekonomi negara ketika ini termasuk kenaikan inflasi, Malaysia amat memerlukan jalinan hubungan yang baik dengan negara maju termasuk Turki.
Penganalisis Politik Antarabangsa, Prof Ahmad Martadha Mohamed berkata, lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Turki minggu depan pasti akan membuka lebih banyak ruang kerjasama, apatah lagi negara itu juga pasti mahu memanfaatkan kerjasama dari sudut pertanian.
"Dengan kenaikan inflasi dan juga dengan mata wang ringgit juga semakin lemah, kita sudah tentu memerlukan satu hubungan baik dengan negara yang maju seperti Turki.
"Banyak faedah daripada lawatan kerja itu nanti terutama dari sudut teknologi kerana Turki merupakan antara negara yang mempunyai pembangunan teknologi yang baik.
"Kita juga tahu bahawa Malaysia amat memerlukan kepada pelaburan asing pada ketika ini dan sudah tentulah dengan komitmen daripada kerajaan Turki sebelum ini, ia akan memberikan banyak faedah.
"Dari sudut perdagangan pula, Turki memerlukan barang-barang pertanian seperti kelapa sawit jadi hubungan baik ini satu situasi menang-menang," katanya ketika muncul dalam program Fokus Minggu Depan.
Selain itu, Ahmad Martadha juga melihat kerjasama kedua-dua negara sebagai penyatuan negara Islam yang sama-sama tegas memperjuangkan isu kemanusiaan dan penindasan terhadap umat Islam seperti di Palestin dan Myanmar.
"Turki kita faham, sangat tegas dengan prinsip mereka dalam hal penindasan. Banyak negara Asia Barat tidak bersuara dalam hal Palestin, tetapi mereka tidak begitu.
"Malaysia dalam hubungan negara kita dengan negara luar yang mempunyai pendirian yang sangat tegas, kita sangat menekankan prinsip keamanan dan berkecuali. Ini menyebabkan Malaysia dihormati oleh negara-negara luar.
"Malaysia seringkali menjadi jurucakap dalam usaha ke arah menyelesaikan konflik di meja rundingan seperti yang kita lakukan dengan di Filipina dan juga di selatan Thai di mana pertelingkahan dapat ditamatkan tanpa perlu berlakunya banyak pertumpahan darah,"katanya lagi.
Fokus Minggu Depan: Lawatan PM ke Turki minggu depan
#Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob #Turki #lawatan #pelaburan
;