Lawatan PM ke Rusia perluas ruang geo-ekonomi Malaysia, perkukuh kerjasama ekonomi di peringkat global - MITI
Bernama
Oktober 24, 2024 10:15 MYT
Oktober 24, 2024 10:15 MYT
KUALA LUMPUR: Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia baru-baru ini adalah langkah strategik kerajaan dalam mengeratkan hubungan Malaysia-Rusia di samping memperluas ruang geo-ekonomi negara, sekali gus memperkukuh kerjasama ekonomi dan kedudukan Malaysia di peringkat global.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan, lawatan sulung Anwar pada 4 hingga 5 Sept, 2024 berjaya membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala Malaysia dan Rusia yang membawa manfaat besar kepada kedua-dua negara.
"Kehadiran Perdana Menteri di Rusia sempena Forum Ekonomi Timur ke-9 di Vladivostok telah memberi peluang kepada Malaysia untuk memaparkan kepada masyarakat antarabangsa terutamanya para pelabur dari Rusia mengenai usaha kerajaan dalam membangunkan ekonomi negara dan kemudahan yang disediakan untuk pelabur asing sebagai daya tarikan untuk melabur di negara ini.
"(Ia) di samping mengetengahkan pendirian Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan yang mengamalkan prinsip keterbukaan dan mesra perniagaan," menurut MITI dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, semalam.
MITI menjawab soalan yang dikemukakan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) yang ingin tahu hasil lawatan Perdana Menteri ke Rusia dari sudut ekonomi, perdagangan dua hala dan kedudukan geopolitik antarabangsa.
Kementerian memaklumkan lawatan kerja itu merupakan satu usaha penting dalam meneruskan kesinambungan hubungan dagangan sedia ada bagi meningkatkan akses pasaran barangan serta perkhidmatan tempatan ke Rusia.
Dari segi kedudukan geopolitik antarabangsa pula, lawatan itu adalah satu langkah strategik bagi memastikan Malaysia terus berada dalam kedudukan terbaik dalam dunia yang semakin dicorakkan oleh persaingan geopolitik, jelas MITI.
"Dalam perjumpaan dua hala dengan Presiden Putin, pelbagai perbincangan substantif dalam bidang ekonomi, pengajian tinggi, pelancongan, industri halal dan kesalinghubungan serta perluasan skop kerjasama dalam bidang baharu seperti peralihan tenaga, aeroangkasa, sains dan teknologi, telekomunikasi dan perbankan/kewangan Islam telah diadakan," jelas kementerian itu.
MITI berpendirian bahawa dalam menghadapi cabaran geopolitik yang kompleks, Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan yang terbuka perlu mengambil pendekatan strategik bagi meneroka pasaran baharu serta memastikan jalinan hubungan ekonomi sedia ada kekal utuh serta terus berkembang.
"Justeru, Malaysia perlu meneruskan usaha untuk meneroka peluang serta meningkatkan hubungan yang produktif dan pragmatik dengan negara rakan dagang sedia ada selain meneroka pasaran baharu dengan negara rakan dagang bukan tradisional," tambahnya. - BERNAMA