Lawatan PM ke luar negara jana potensi pelaburan RM431.18 bilion
Bernama
Julai 11, 2024 16:52 MYT
Julai 11, 2024 16:52 MYT
KUALA LUMPUR: Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara berjaya menjana nilai potensi pelaburan berjumlah RM431.18 bilion dari 2023 hingga Mei lepas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata ia merangkumi RM253.6 bilion pada 2023 dan RM77.58 bilion dari Januari hingga Mei tahun ini.
Beliau berkata Anwar telah terlibat dalam 31 lawatan rasmi dan lawatan kerja ke 19 negara dari November 2022 hingga Mei 2024 antaranya Arab Saudi, Australia, Brunei, Emiriah Arab Bersatu, Filipina, Indonesia dan Jepun.
Selain itu Jerman, Kazakhstan, Kemboja, Mesir, Laos, China, Singapura, Thailand, Turkiye, Uzbekistan, Vietnam dan Qatar.
"Ini termasuklah menghadiri persidangan dan mesyuarat berjadual di peringkat antarabangsa yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin dunia," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai perincian lawatan rasmi dan tidak rasmi Perdana Menteri ke luar negara bermula 2022 hingga kini serta jumlah pelaburan yang berjaya dibawa masuk ke Malaysia hasil setiap lawatan tersebut.
Dr Zaliha berkata misi serta tujuan lawatan rasmi dan lawatan kerja Perdana Menteri adalah bagi meyakinkan bakal pelabur untuk melabur di Malaysia di samping memperkukuh, mendalami, memperluas kerjasama dua hala serta memupuk persefahaman lebih jitu antara Malaysia dan negara berkenaan.
Menurut Dr Zaliha, lawatan juga bagi mengerat dan menyemarakkan hubungan diplomatik serta kerjasama dengan negara terlibat sekali gus memposisikan Malaysia sebagai negara yang mengamalkan prinsip ekonomi yang telus dan terbuka.
Sebagai contoh, beliau berkata hubungan diplomatik dan kerjasama erat Malaysia-China yang kini mencecah 50 tahun telah dizahirkan menerusi pemeteraian perjanjian persefahaman serta persepakatan dalam pelbagai sektor ekonomi yang akan memberi kesan serta impak positif terhadap pembangunan ekonomi negara.
-- BERNAMA