Lawatan PM ke Jerman: Sekitar 30 syarikat utama Jerman sertai meja bulat perniagaan
Irfan Faruqi
Mac 12, 2024 18:43 MYT
Mac 12, 2024 18:43 MYT
BERLIN: Sekitar 30 syarikat utama Jerman bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang meja bulat perniagaan pada Selasa.
Sidang meja bulat itu dikelola oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Sejurus selepas sesi meja bulat selesai, Perdana Menteri mengadakan pertemuan secara tertutup dengan syarikat-syarikat utama secara berasingan. Ia dimulakan dengan pertemuan delegasi Malaysia dengan syarikat Melexis yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Marc Biron, bersama syarikat pembuatan X-Fab, diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rudi De Winter
Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datin Paduka Dr. Adina Kamarudin.
Pada Isnin, Perdana Menteri menekankan kepentingan kerjasama perdagangan antara Malaysia-Jerman dalam sektor bernilai tinggi.
Canselor Jerman, Olaf Scholz dalam sidang media yang sama pada hari tersebut menyahut kenyataan Anwar seraya berkata Jerman akan terus mencari peluang untuk mengembangkan pelaburannya di Malaysia, berdasarkan kepada potensi Malaysia untuk membangunkan sektor tenaga boleh baharu, terutamanya tenaga hidrogen.
Perdana Menteri turut bertemu dengan Infineon Technologies AG diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Dr. Rutger Wijburg, bersama Naib Presiden Dasar Awam, Michael Boll.
Kemudian, delegasi Malaysia turut bertemu Ahli Lembaga Pengarah Schott AG, Dr. Andrea Frenzel; dan Naib Presiden yang juga Ketua Perniagaan Bidang Realiti Terimbuh Optik Termaju, Dr. Rüdiger Sprengard.
Seterusnya, Airbus diwakili Presiden Airbus Asia Pacific, Anand Stanley; dan Ketua Wakil Airbus Malaysia, Burhan Noordin-Ali.
Untuk rekod, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan pelaburan dua hala Malaysia-Jerman setakat Januari 2024 meningkat sebanyak 14.8 peratus kepada RM5.59 bilion.
Manakala nilai eksport dari Malaysia ke Jerman telah meningkat kepada RM2.92 bilion padan Januari 2024 berbanding RM2.29 bilion pada tempoh sama 2023. Seterusnya, nilai import Malaysia dari Jerman berjumlah RM2.67 bilion setakat Januari 2024.
Ini menjadikan Malaysia merekodkan dagangan surplus dengan Jerman yang bermaksud nilai eksport lebih tinggi berbanding nilai import dengan republik tersebut.