Lawatan PM ke Filipina 'sangat signifikan' - Zambry
Bernama
Februari 28, 2023 19:44 MYT
Februari 28, 2023 19:44 MYT
MANILA: Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Filipina, yang bermula esok, disifatkan sebagai 'sangat signifikan' dan menggambarkan betapa penting hubungan dua hala kedua-dua negara jiran itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, Anwar merupakan ketua kerajaan pertama yang melakukan lawatan rasmi ke Filipina sejak Ferdinand Marcos Jr dipilih sebagai Presiden ke-17 negara itu pada Jun tahun lepas.
"Ia menggambarkan betapa pentingnya hubungan di antara kedua-dua negara," katanya dalam sidang media dengan wartawan Malaysia di sini hari ini.
Filipina merupakan negara ASEAN kelima yang dilawati Anwar selepas dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia pada akhir tahun lepas.
Sebelum Manila, Perdana Menteri telah melakukan lawatan rasmi ke Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand.
Ia juga adalah lawatan rasmi sulung Anwar ke republik itu sejak menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Zambry berkata, perbincangan Perdana Menteri dengan Presiden Filipina akan menyentuh pelbagai perkara berkepentingan bersama meliputi isu perdagangan, pelaburan, ekonomi, keselamatan dan lain-lain.
Beliau berkata, hubungan perdagangan kedua-dua negara berada dalam keadaan baik tanpa sebarang pertikaian kecuali yang membabitkan imbangan perdagangan.
Pada pertemuan empat mata kedua-dua pemimpin, Anwar dan Marcos dijangka membincangkan isu serantau terutama berkaitan Laut China Selatan dengan harapan ASEAN menjadi pemangkin terbaik dalam menangani serta menyelesaikannya.
Lawatan Perdana Menteri ke Filipina akan turut disertai Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick serta pegawai kanan Wisma Putra dan agensi berkaitan.
Sejurus tiba di Manila esok, Anwar akan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Filipina di Istana Malacanang sebelum delegasi kedua-dua negara mengadakan mesyuarat dua hala disusuli sidang media bersama oleh kedua-dua pemimpin.
Pada hari kedua, Perdana Menteri dijadual menyampaikan syarahan umum bertajuk '30 Tahun Selepas Gelombang Kebangkitan Asia: Pengajaran Strategik Buat ASEAN' di Universiti Filipina yang ditubuhkan pada 1908.
Beliau juga akan menerima anugerah Ijazah Doktor Kehormat daripada senat universiti itu dan mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia di Filipina.
Pada 2022, Filipina merupakan rakan dagangan ke-15 terbesar Malaysia dan kelima terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan nilai dagangan RM41.45 bilion (US$9.42 bilion) atau peningkatan sebanyak 20.1 peratus berbanding pada 2021. - BERNAMA