Lawatan PM ke Arab Saudi: Wisma Putra sifatkan tanggapan tidak berasas
Nailah Huda
Mac 28, 2023 16:40 MYT
Mac 28, 2023 16:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar (Wisma Putra) mempertahankan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi yang menjadi pertikaian pihak pembangkang baru-baru ini.
Menurut Wisma Putra, tuduhan itu disifatkan sebagai tanggapan yang tidak berasas dibuat oleh sesetengah pihak atas 'kepentingan politik sempit'.
“Berdasarkan perjalanan dan hasil lawatan, lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi menggambarkan kepentingan hubungan diplomatik dan kerjasama di antara Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi.
“Dalam konteks ini, Wisma Putra menegaskan bahawa polemik-polemik serta tanggapan-tanggapan tidak berasas oleh sesetengah pihak di Malaysia atas kepentingan politik sempit tidak akan membantu dalam usaha KLN memartabatkan diplomasi Malaysia ke arah pengukuhan hubungan dan kerjasama dengan negara-negara sahabat di seluruh dunia baik di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Selasa.
Wisma Putra menjelaskan bahawa lawatan delegasi Malaysia tidak dapat dilanjutkan berikutan komitmen-komitmen Perdana Menteri, termasuk majlis berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong pada 25 Mac.
“Delegasi Malaysia telah menerima makluman supaya tempoh lawatan dipanjangkan daripada tempoh asal bagi mengaturkan sesi-sesi kunjungan hormat dan pertemuan dengan kepimpinan
tertinggi kerajaan Arab Saudi.
“Walau bagaimanapun, delegasi Malaysia telah menjelaskan secara baik bahawa permintaan
tersebut tidak dapat dipenuhi disebabkan komitmen-komitmen Perdana Menteri yang telah ditetapkan awal sebelum lawatan.
“Ini termasuk majlis iftar bersama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Istana Negara pada 25 Mac 2023 dan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Kemboja pada 27 Mac 2023,” jelas Wisma Putra.
Tambah Wisma Putra, lawatan itu berjaya menghasilkan pelbagai pencapaian dari segi diplomasi serta pelaburan.
Antaranya termasuk mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin Islam, menyampaikan ucaptama di majlis yang dihadiri lebih 300 tetamu termasuk tokoh dan pakar, serta mengadakan sesi meja bulat perniagaan bersama 20 orang ahli perniagaan terkemuka Arab Saudi serta wakil komuniti perniagaan Malaysia.
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pada Selasa memaklumkan usul berhubung lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi di Dewan Rakyat telah ditolak.
Namun, beliau berkata, pembangkang telah menyediakan usul tergempar berkaitan isu tersebut.