Lawatan PM ke Arab Saudi pulihkan hubungan, disambut meriah
Najib Aroff
Mac 8, 2021 19:38 MYT
Mac 8, 2021 19:38 MYT
RIYADH: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi atas jemputan Raja Salman Abdulaziz Al Saud membuktikan pemulihan hubungan dua hala yang terjejas ketika pentadbiran sebelum ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata keputusan Putera Mahkota Mohammed bin Salman untuk menyambut ketibaan Perdana Menteri secara peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid adalah tanda jelas pengiktirafan terhadap Malaysia.
“Hubungan Malaysia dan Arab Saudi pada dua tahun lepas tidak baik. Sebab itu pentingnya pertemuan ini untuk memulihkan hubungan.
"Kejayaan melaksanakan pertemuaan ini juga boleh dianggap kejayaan memperbaiki hubungan dua hala... keikhlasan dan kesanggupan kita menerima hakikat bahawa hubungan dua hala sebelum ini tidak berada pada tahap yang kita harapkan, dan kesanggupan dua pihak untuk memperbetulkan keadaan,” katanya pada sidang media di Riyadh.
Hishammuddin berkata, petanda awal kejayaan lawatan kali ini terserlah apabilan Putera Mohammed sendiri sudi menyambut ketibaan Perdana Menteri.
“Kesudian Putera Mahkota menyambut ketibaan Perdana Menteri secara peribadi bukan perkara biasa. Ini tidak ada dalam jadual asal.
“Ini keputusan beliau sendiri dan tidak pernah dilakukan sebelum ini. Saya sudah iring beberapa Perdana Menteri ke Arab Saudi, tidak pernah Putera Mahkota datang menyambut Perdana Menteri," katanya.
Hishammuddin berkata, usaha pemulihan hubungan dua hala kedua-dua negara sudah bermula sejak setahun lalu di peringkat Menteri Luar.
Tambah beliau lawatan kali ini amat mencabar kerana dilaksanakan ketika penularan pandemik COVID-19.
“SOP (prosedur operasi standard) sangat ketat, setahu saya ini kali pertama Arab Saudi menerima kunjungan ketua negara (secara fizikal). Ini boleh menjadi penanda aras untuk lawatan seterusnya,
Pertemuan dengan Raja Salman secara maya
Sementara itu, Hishammuddin menjelaskan, sesi menghadap oleh Perdana Menteri dilakukan secara maya adalah kerana prosedur operasi standard Arab Saudi ketika penularan COVID-19.
“Setahu saya Raja Salman tidak pernah berjumpa pemimpin negara lain secara fizikal (sejak COVID-19) menular, secara maya pun tidak.
“Sekiranya perjumpaan dilakukan secara maya, itu perkara luar biasa dalam landskap COVID-19 ketika ini.
“Ini gambaran betapa erat hubungan pemimpin tertinggi Arab Saudi dan Malaysia," katanya.
Hishammuddin menegaskan pertemuan ini amat penting dalam pelbagai aspek dan peringkat termasuk melibatkan urusan jemaah haji Malaysia.
Majlis menghadap Raja Salman akan diwakili Perdana Menteri diiringi Hishammuddin; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Abd Razak Abdul Wahab.
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#Arab Saudi
#lawatan rasmi
#jemputan Raja Salman Abdulaziz Al Saud
#Hishammuddin
#Putera Mahkota Mohammed bin Salman
#sambut perdana menteri