Lawatan PM Anwar ke Kemboja eratkan hubungan, bincang kepentingan dua hala- Zambry

Fareez Azman
Mac 26, 2023 16:42 MYT
Zambry (kiri) bercakap dalam sidang media di Wisma Putra di Putrajaya pada Ahad. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi sulungnya ke Kemboja pada 27 Mac ini atas undangan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menerusi lawatan sehari itu, beberapa perkara akan dibincangkan dan dimeterai di antara dua negara.
"Dalam lawatan ini, Perdana Menteri akan mengadakan perbincangan dan beberapa siri pertemuan, ini termasuk merangkumi pertemuan dengan Hun Sen dan untuk turut mengunjungi Raja Kemboja.
"Selain daripada itu, juga turut membincangkan isu dan perkara meningkatkan kerjasama dua hala dan kemudian kita menjangkakan ada pemeteraian MoU antara Malaysia dan Kemboja.
"Ia termasuk bidang pengambilan pekerja domestik dan MoU mengenai pengambilan dan pengajian penghantaran pekerja Kemboja bagi sektor formal," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Wisma Putra di sini pada Ahad.
Beberapa pertemuan juga jelas Zambry akan diadakan dengan Presiden Dewan Senat Kemboja, Say Chhum dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja, Heng Samrin.
Lebih istimewa jelas Zambry, Perdana Menteri turut akan diraikan dalam Majlis Iftar yang dihoskan sendiri oleh rakan sejawatnya, Hun Sen.
"Dalam lawatan kali ini agak istimewa ia diadakan bulan puasa, Perdana Menteri Kemboja dan Menteri Utamanya, Dr Osman Hassan yang menjadi Menteri Kanan Tugas-Tugas Khas Kemboja Hal Ehwal Islam.
"Kerajaan Kemboja akan menganjurkan satu majlis berbuka puasa beramai-ramai dianggarkan 5,000 masyarakat akan hadir. Iftar ini akan dihoskan sendiri Perdana Menteri Kemboja dan ia menjadi majlis sangat bermakna," jelasnya lagi.
Anwar juga turut dijadualkan menyampaikan sumbangan Al-Quran serta menunaikan solat sunat Tarawih di Phnom Penh sebelum berangkat pulang ke tanah air.
Tambah Zambry, selain beliau, turut akan mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.
Untuk rekod, Kemboja merupakan rakan dagangan ke 58 terbesar Malaysia dan lapan terbesar di Asia dengan jumlah perdagangan AS$683.6 juta (RM3.02 bilion) peningkatan sebanyak 20.8 peratus pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya.
#Kemboja #Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #Hun Sen
;