Lawatan PM Anwar ke India dijangka kukuhkan hubungan ekonomi - Ramanan

Bernama
Ogos 14, 2024 06:00 MYT
Lawatan Perdana Menteri Anwar ke India pada 19 hingga 20 Ogos ini dijangka mengukuhkan kerjasama yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara, dengan tumpuan kepada hubungan ekonomi dan inisiatif koperasi. - Gambar fail Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India dijangka mengukuhkan kerjasama yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara, dengan tumpuan kepada hubungan ekonomi dan inisiatif koperasi, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan.
Ramanan menyuarakan keyakinan terhadap potensi hasil daripada lawatan itu, dengan menyebut hubungan erat antara Anwar dan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
"India telah lama bekerjasama dengan Malaysia. Dengan lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, hubungan baik beliau bukan sahaja dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi tetapi juga dengan India, kita akan dapat merangka sesuatu yang sangat baik dari segi ekonomi untuk Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas persembahan istimewa 'Swarna Samaroha'-Odissi di Auditorium Shantanand, Temple of Fine Arts, Brickfields, di sini, Rabu malam.
Ramanan turut menekankan peranan penting India dalam sektor koperasi dan sumbangannya dalam latihan kemahiran serta pembangunan modal insan, yang selari dengan misi kementeriannya.
Selain inisiatif koperasi, Ramanan juga menekankan dimensi ekonomi dalam hubungan Malaysia-India.
Beliau berkata, perdagangan antara kedua-dua negara mencapai pencapaian yang ketara, dengan jumlah keseluruhan perdagangan mencecah banyak AS$43.3 bilion pada tahun lepas.
Eksport Malaysia ke India bernilai AS$26.3 bilion dengan eksport utama termasuk minyak sawit dan elektronik manakala import terdiri terutamanya daripada produk petroleum dan pertanian.
"Malaysia adalah rakan dagang ketiga terbesar India di ASEAN dan ke-11 terbesar di peringkat global.
Malaysia telah menetapkan sasaran menjelang 2030 kita ingin mencapai AS$100 bilion dalam perdagangan (dengan India), sudah tentu perjalanan yang sangat panjang sehingga kita mencapainya, tetapi kita perlu menetapkan matlamat," katanya.
Anwar dijadualkan membuat lawatan rasmi pertama ke India dari 19 hingga 20 Ogos.
Semasa lawatan ini, beberapa perjanjian antara kedua-dua negara dijangka akan ditandatangani.
Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B. N. Reddy, yang turut hadir pada majlis itu menekankan kepentingan pertemuan antara pemimpin Malaysia dan India itu.
Beliau menzahirkan keyakinan terhadap kejayaan lawatan itu, sambil menekankan perancangan rapi yang telah dilakukan kedua-dua kerajaan.
Beliau berkata, delegasi Malaysia yang diketuai oleh Anwar dan termasuk lima menteri kabinet bersama dengan delegasi besar dari India yang akan terlibat, menunjukkan keutamaan yang diberikan oleh kedua-dua negara terhadap lawatan itu.
Persembahan istimewa "Swarna Samaroha"-Odissi adalah acara yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia dan Pusat Kebudayaan India Netaji Subhas Chandra Bose (NSCBICC) yang menampilkan persembahan oleh kumpulan pelawat Guru Dr. Gajendra Panda dan anak muridnya.
Acara itu turut dihadiri oleh lebih 350 tetamu, duta/pesuruhjaya tinggi dan pegawai kanan beberapa perwakilan diplomatik di Kuala Lumpur, termasuk wakil organisasi kebudayaan dan komuniti India serta sekolah dan institusi akademik di Malaysia. - BERNAMA
#Perdana Menteri Anwar #lawatan ke India #hubungan ekonomi #r ramanan
;