Lawatan PM Anwar ke Batu Caves bukti kerajaan perkukuhkan perpaduan
Astro Awani
Februari 11, 2025 08:00 MYT
Februari 11, 2025 08:00 MYT
Lawatan bersejarah Perdana Menteri Anwar ke Batu Caves pada Jumaat lalu sempena sambutan Thaipusam membuktikan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan perpaduan dan menghargai masyarakat India di Malaysia, kata Manivanan Gowin. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Lawatan bersejarah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Batu Caves pada Jumaat lalu sempena sambutan Thaipusam membuktikan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan perpaduan dan menghargai masyarakat India di Malaysia.
Menurut Setiausaha Politik Pejabat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Manivanan Gowin, kunjungan itu juga mencerminkan penghormatan Anwar terhadap tradisi agama dan budaya sekali gus menangkis dakwaan mengena pengabaian kaum India.
“Satu aspek penting mendapat perhatian adalah tiadanya campur tangan pasukan protokol Perdana Menteri dalam susunan acara yang dikendalikan oleh penganjur.
“Ini menunjukkan rasa hormat Anwar terhadap sensitiviti budaya dan kepercayaan masyarakat India,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan pada Isnin.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan dilaporkan berkata, Perdana Menteri sangat teruja untuk turun padang ke Batu Caves untuk bersama komuniti India.
Kata Ramanan, kunjungan Anwar ke Batu Caves juga mencatat sejarah
Dalam perkembangan sama, Manivanan berkata, selepas lawatan tersebut, terdapat lonjakan sentimen positif dalam kalangan masyarakat India terhadap kepimpinan Anwar dan Kerajaan Perpaduan.
“Kehadiran di Batu Caves bersama pemimpin daripada DAP iaitu Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan PKR merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ramanan Ramakrishnan telah memperkukuh semangat perpaduan serta menegaskan beliau ialah pemimpin untuk semua rakyat.
“Semoga sambutan Thaipusan kali ini membawa keamanan, kemakmuran dan perpaduan yang berterusan untuk Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri,” jelas beliau lagi.