Lawatan Perdana Menteri tingkatkan nilai dagangan Malaysia-Vietnam

Dr Azlinariah Abdullah
Ogos 25, 2019 08:45 MYT
Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Shariffah Norhana Syed Mustaffa optimis lawatan kerja Tun Dr Mahathir membuka jalan kepada lebih banyak peluang pelaburan yang bakal dijana kedua-dua negara. - Foto Astro AWANI
Lawatan rasmi pertama selama tiga hari Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Hanoi, Vietnam yang bermula esok dijangka merintis kepada pencapaian sasaran AS$15 bilion nilai dagangan dua hala kedua-dua negara menjelang 2020.
Sasaran itu adalah sebagaimana digariskan dalam Pelan Tindakan Malaysia-Vietnam (2017-2019).
Dalam hal ini, Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Shariffah Norhana Syed Mustaffa optimis lawatan kerja Tun Dr Mahathir membuka jalan kepada lebih banyak peluang pelaburan yang bakal dijana kedua-dua negara.
Katanya, ini merupakan lawatan pertama Tun Dr Mahathir ke Hanoi selepas dilantik menjadi Perdana Menteri kali kedua pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Mei lepas.
"Lawatan ini amat penting. Ia akan membantu membangunkan hubungan akrab antara kedua-dua negara. Saya percaya sasaran AS$15 bilion akan dapat dicapai pada 2020.
"Pada 2015, kita meningkatkan hubungan ini kepada rakan kongsi strategik dan kini, kita mempunyai hubungan yang amat baik dalam semua perkara daripada politik hinggalah kepada pertahanan, keselamatan, dagangan dan pendidikan,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia sempena lawatan Perdana Menteri ke Hanoi, di sini hari ini.
Dalam lawatan ke Hanoi, Perdana Menteri akan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta pegawai-pegawai kanan kerajaan, MITI, MATRADE dan MIDA.
Sebaik tiba pada petang Isnin, Tun Dr Mahathir Mohamad akan diberi sambutan rasmi di Istana Presiden dan menghadiri majlis makan malam bersama diaspora warga Malaysia di Vietnam.
Untuk rekod, terdapat kira-kira 300 warga Malaysia yang berdaftar, berada di Vietnam ketika ini.
Agenda lawatan ke Hanoi juga merangkumi pertemuan empat mata bersama rakan sejawatan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc dan mesyuarat delegasi sebelum mengadakan sidang media bersama.
Tun Dr Mahathir kemudiannya akan mengadakan dialog dengan ahli perniagaan dan pelabur Malaysia di Vietnam pada petang 27 Ogos.
"27 syarikat Malaysia yang berpangkalan di Vietnam akan mengambil bahagian dalam dialog ini. Sesi ini membolehkan mereka terlibat dengan Perdana Menteri dan akan menyediakan satu platform bagi mereka untuk terus meneroka peluang perdagangan dan pelaburan," kata Shariffah Norhana.
Sempena lawatan ini juga, Perdana Menteri turut dijadual menghadiri Majlis Makan Malam Rasmi yang dihoskan oleh Perdana Menteri Vietnam.
Pada akhir lawatan, Tun Dr Mahathir akan melawat Hoa Lac Hi-Tech Park dan akan menyampaikan syarahan bertajuk "Persediaan Malaysia Dalam Mendepani Revolusi Industri 4.0" di hadapan pelajar-pelajar FTP University.
Perdana Menteri juga melihat pameran kereta-kereta VinFast buatan Vietnam model Lux SA 2.0, Lux SA (A) 2.0 dan Fadil 1.5.).
VinFast adalah anak syarikat Vingroup, salah sebuah syarikat swasta yang terbesar di Vietnam.
Sebelum berangkat pulang, beliau dijadual mengadakan lawatan ke Zon Perindustrian Noi Bai, yang pernah beliau melakukan upacara pecah tanah pada tahun 1996, ketika beliau menjadi Perdana Menteri ketika itu.
Noi Bai ialah salah sebuah zon industri milik asing yang terawal di Vietnam yang ditadbir urus oleh Noi Bai Development Corporation Limited (NBD) syarikat usahasama Malaysia-Vietnam, iaitu Vista Spectrum Sdn. Bhd. dan Urban Infrastructure Development Investment Corporation UDIC Vietnam.
Kata Shariffah Norhana, kedua-dua negara menikmati hubungan baik sejak menjalin hubungan dua hala pada 1973, tetapi masih banyak peluang perdagangan dan pelaburan yang boleh diteroka oleh ahli peniagaan Malaysia-Vietnam.
Vietnam adalah rakan ekonomi yang penting bagi Malaysia, di mana pada tahun 2018, nilai dagangan antara kedua-dua negara mencatatkan AS$13.3 bilion.
Nilai eksport Malaysia ke Vietnam pula mencecah AS$8.48 bilion, sementara import dari Vietnam berjumlah AS$4.77 bilion.
Eksport Vietnam ke Malaysia ketika ini adalah beras, kopi dan elektronik manakala Malaysia tertumpu kepada eksport minyak dan gas serta produk elektronik.
Untuk rekod, Malaysia adalah rakan dagang yang ke-11 terbesar bagi Vietnam, manakala Vietnam pula adalah rakan dagang yang ke-13 terbesar bagi Malaysia di dunia dan ke-4 terbesar dalam ASEAN selepas Singapura, Thailand dan Indonesia.
Malaysia merupakan negara pelabur ke-8 terbesar di Vietnam dengan pelaburan berjumlah AS$12.48 bilion di akhir tahun 2018.
"Sektor swasta kedua-dua buah negara harus mencari peluang baru untuk berkerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan ini supaya sasaran AS$15 bilion dapat dicapai,'' kata Shariffah Norhana.
Mengulas mengenai pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia, beliau berkata, perkara itu dijangka akan turut sama dibincang pada lawatan kali ini.
#ASEAN #Datuk Shariffah Norhana Syed Mustaffa #Duta Besar Malaysia ke Vietnam #ekonomi #Hanoi #Mahathir Mohamad #Malaysia #Matrade #pelaburan #Perdana Menteri #pilihan raya umum #Saifuddin Abdullah #Singapura #Thailand #TUN DR MAHATHIR #Vietnam