Lawatan Negara Prabowo ke Malaysia penting bagi hubungan dua hala, ASEAN
Bernama
Januari 26, 2025 12:30 MYT
Januari 26, 2025 12:30 MYT
KUALA LUMPUR: Lawatan negara pertama Presiden Prabowo Subianto minggu depan membawa makna yang sangat penting kepada hubungan dua hala Indonesia dan Malaysia serta kestabilan dan keselamatan ASEAN, kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono.
Beliau berkata, kunjungan ini berperanan memperkukuh semua bidang dalam hubungan diplomatik Indonesia-Malaysia, dua negara yang kuat dalam kalangan rantau ASEAN.
"Diharapkan kunjungan ini akan dapat mempercepat penyelesaian beberapa isu tertangguh, termasuk masalah sempadan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Menyentuh mengenai ASEAN, Hermono berpendapat, cabaran utama ASEAN ketika ini ialah bagaimana menjaga Pemusatan ASEAN untuk menghadapi dinamik politik dan memelihara kestabilan serta keamanan serantau.
"Dalam konteks ini, hubungan Indonesia-Malaysia yang semakin kuat tentunya sangat penting untuk menjaga Pemusatan ASEAN," katanya.
Prabowo yang kini dalam lawatan negara ke India menerusi akaun X pada Khamis berkata, selepas ini beliau akan ke Malaysia atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
"Kerjasama erat dengan negara-negara sahabat selalu menjadi keutamaan kita untuk membangun kawasan yang lebih kuat dan sejahtera bersama," kata Presiden.
Menurut Hermono, Prabowo yang memulakan tugas sebagai Presiden Indonesia kelapan pada Oktober lepas akan diiringi beberapa menteri Kabinet dalam lawatan negaranya ke Malaysia.
Antara menteri Kabinet Indonesia yang disenaraikan menyertai lawatan negara Prabowo ke Malaysia ialah Menteri Luar Negeri, Sugiono; Menteri Perdagangan, Budi Santoso; Menteri Perlindungan Pekerja Migran, Abdul Kadir Karding; Menteri Pelaburan dan Hiliran, Rosan Perkasa Roeslani; Menteri Pendidikan Dasar dan Menengah, Prof Dr Abdul Mu'ti dan Setiausaha Kabinet, Mejar Teddy Indra Wijaya.
Prabowo pada 9 Jan melakukan lawatan kerja sehari ke Malaysia dan dalam perbincangan bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim beliau menyatakan hasrat Indonesia untuk membantu Malaysia dalam Kepengerusian ASEAN tahun ini.
Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN kali kelima bermula 1 Jan dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan.
Sebelum ini Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 oleh lima buah negara iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina.
Kini ASEAN dianggotai 10 buah negara termasuk Brunei, Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja dengan Timor-Leste sebagai pemerhati.
Malaysia dan Indonesia memulakan hubungan diplomatik secara rasmi pada 1957 dengan hubungan masyarakat di antara kedua-dua negara sudah bermula lebih awal dari itu.
Kenyataan Wisma Putra sebelum ini menyebut pada 2023, Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.21 bilion (US$24.39 bilion).
Sejak Jan hingga Okt 2024, jumlah dagangan dua hala telah mencecah RM95.50 bilion (US$20.75 bilion) berbanding RM94.37 bilion (US$20.69 bilion) dalam tempoh yang sama pada 2023.
Sementara itu, Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah berkata, Malaysia dan Indonesia mungkin berada di kemuncak zaman keemasan baharu yang didorong oleh hubungan rapat antara Prabowo dan Anwar.
"Kedua-dua pemimpin ini sudah pasti melihat rasional strategik yang kukuh dalam perkongsian mereka, dijalinkan atas keutamaan Pemusatan ASEAN, terutamanya dalam keadaan ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam persekitaran strategik yang lebih meluas, terutamanya di bawah kepimpinan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang sukar diramal," katanya ketika dihubungi.
Menurut Mohd Faiz, dengan persaingan AS-China dijangka meningkat dengan cara yang tidak dapat diramalkan dalam beberapa tahun akan datang, keperluan untuk Malaysia dan Indonesia bertindak dengan lebih berkoordinasi semakin mendesak.
Terdapat semangat keakraban yang istimewa antara Presiden Prabowo dan Anwar - hubungan peribadi antara mereka tidak dapat dinafikan.
"Kali terakhir wujud muhibah antara kedua-dua pihak adalah semasa Tun Razak (Hussein), yang peranannya dalam menamatkan Konfrontasi bersama Tun Ghazali Shafie, membawa kepada zaman keemasan bagi hubungan Malaysia-Indonesia," tambahnya.
Sementara itu, sumber dari Istana Presiden Indonesia, bercakap kepada media Indonesia, Kompas menekankan bahawa "Malaysia, sebagai negara jiran yang rapat, amat penting bagi Indonesia."
Sumber itu turut menyentuh mengenai pertemuan pada 9 Jan di Kuala Lumpur, di mana Prabowo dan Anwar mengadakan perbincangan secara tertutup semasa majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Anwar di Rumah Tangsi, Taman Tasik Perdana.
"Lokasi itu dipilih sendiri oleh Perdana Menteri Anwar untuk menghormati Presiden Prabowo yang walaupun jadualnya padat, meluangkan masa untuk ke Kuala Lumpur bagi pertemuan itu," kata sumber berkenaan kepada Kompas.
Susulan pertemuan itu, Biro Akhbar, Media dan Penerangan Sekretariat Presiden mengeluarkan kenyataan, menyatakan: "Pertemuan ini menjadi simbol penting persahabatan antara Indonesia dan Malaysia, di samping mengukuhkan usaha kedua-dua negara untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dalam pelbagai sektor."
Dalam kenyataan ringkas sebelum berlepas ke New Delhi Khamis lepas di lapangan terbang di Jakarta Timur, Prabowo menekankan kepentingan Malaysia sebagai jiran rapat dan negara serumpun yang berkongsi persamaan budaya, etnik dan sejarah.
"Kami mempunyai banyak persamaan dan semakin bekerjasama sebagai negara pengasas ASEAN, bersama Singapura, Thailand, Filipina dan Brunei. Bersama-sama, kita telah menjadi penggerak utama ASEAN yang kini berkembang pesat," katanya.
Prabowo juga menekankan peranan penting yang dimainkan oleh Indonesia dan Malaysia dalam mengukuhkan kerjasama ASEAN serta perkongsian strategik lain.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, mengambil alih jawatan itu dari Laos, manakala Indonesia memegang jawatan pengerusi pada 2023. - BERNAMA