Lawatan Menteri Pertahanan ke Singapura cerminkan hubungan pertahanan mesra, wujud sejak sekian lama
Bernama
Mei 9, 2023 19:41 MYT
Mei 9, 2023 19:41 MYT
SINGAPURA: Lawatan Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan ke Singapura mencerminkan hubungan pertahanan yang mesra dan terjalin sejak sekian lama antara kedua-dua negara.
"Pasukan pertahanan kedua-dua negara berinteraksi secara kerap merentasi pelbagai aktiviti, termasuk latihan dua hala dan pelbagai hala, lawatan, pertukaran profesional serta kehadiran silang kursus.
"Interaksi ini telah meningkatkan persefahaman dan hubungan profesional antara pasukan pertahanan kedua-dua negara," menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) republik itu dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut MINDEF, Mohamad mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Singapura Dr Ng Eng Hen pagi ini.
Semasa pertemuan itu, Dr Ng dan Mohamad mengesahkan komitmen mereka untuk mengekalkan dan mengukuhkan hubungan pertahanan dua hala antara Singapura dan Malaysia, dan kerjasama dalam platform pelbagai hala seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), ADMM-Plus Aturan Pertahanan Lima Kuasa (FPDA).
Mohamad berada di Singapura dalam rangka lawatan kerja pertamanya, turut memeriksa Kawalan Kehormat di MINDEF.
Sebagai sebahagian daripada lawatannya, Mohamad turut melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Lawrence Wong dan Dr Ng.
-- BERNAMA