Lawatan Menteri Pertahanan China dibuat secara 'low-key' atas nasihat KKM - Ismail Sabri
Bernama
September 10, 2020 21:00 MYT
September 10, 2020 21:00 MYT
Lawatan kerja Menteri Pertahanan China Wei Fenghe ke negara ini pada Isnin lalu tidak mendapat liputan media tempatan kerana mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) agar program dilaksanakan tanpa hebahan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata lawatan hanya melibatkan delegasi dari negara itu serta pihak-pihak dalam kementeriannya dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
"Permohonan KKM ialah program dibuat secara 'low-key' iaitu tidak perlu secara besar-besaran kerana jika melibatkan kehadiran media secara besar-besaran agak sukar dari segi kawalan," katanya pada sidang media harian berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu lawatan rakan sejawatannya itu yang tidak dilaporkan oleh mana-mana media tempatan.
"Bukan saya tidak mahu beritahu media kerana kalau ada media lagi bagus boleh kita maklumkan apa yang kita bincangkan, tetapi kita tidak mahu perkara ini dibesarkan kerana kita masih lagi menyekat pintu masuk negara kita kepada warga asing," katanya.
Katanya walaupun kawalan sempadan diperketatkan, hubungan diplomatik dengan negara luar masih diteruskan.
Mengulas lanjut, beliau berkata delegasi dari China itu melalui SOP yang ketat iaitu menjalani ujian swab test tiga hari sebelum masuk ke Malaysia dan menjalani ujian sama sekali lagi sebaik tiba di lapangan terbang pada 6 pagi selain perlu menunggu keputusan.
"Apabila keputusan negatif, baru mereka dibawa ke hotel dan masuk ke bilik masing-masing serta tidak dibenarkan keluar sebelum dibawa ke Kementerian Pertahanan pada waktu tengah hari untuk mengadakan perbincangan mengenai pertahanan kedua-dua negara ," katanya, menambah banyak isu-isu yang dibincangkan termasuk Laut China Selatan.
Menurutnya Malaysia mengulangi penegasan bahawa setiap perkara yang melibatkan Laut China Selatan memerlukan rundingan secara diplomatik.
Katanya selesai perbincangan, delegasi itu dibawa mengunjungi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabat beliau sebelum balik ke hotel dan berlepas pulang semula ke China.
Mengenai Menteri Pertahanan China itu diberi penghormatan memeriksa barisan kawalan kehormatan, Ismail Sabri berkata upacara tersebut adalah sebahagian protokol.
"Kawalan kehormatan juga dibuat secara ketat dengan setiap anggota yang terlibat mesti memakai pelitup muka," katanya.
-- BERNAMA