Lawatan kerja PM amat dinanti-nantikan komuniti perniagaan Malaysia di Kemboja - Duta

Bernama
Februari 22, 2022 22:36 MYT
Eldeen Husaini berkata terdapat kira-kira 5,000 rakyat Malaysia menetap di Kemboja, yang mana daripada jumlah itu kira-kira 2,000 orang berada di ibu kota Phnom Penh dan terlibat terutamanya dalam pelbagai perniagaan sejak 1994. - fotoBERNAMA
PHNOM PENH: Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Kemboja adalah suatu yang amat dinanti-nantikan oleh komuniti perniagaan Malaysia di sini kerana ia akan meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan.
"Lawatan Perdana Menteri ini adalah lawatan yang dinanti-nantikan. Ia adalah masa yang sesuai bagi perdana menteri untuk datang kerana Kemboja baru-baru ini dengan bantuan beberapa negara, termasuk Malaysia telah memperkenalkan undang-undang baharu bagi pelaburan," kata Duta Malaysia ke Kemboja, Eldeen Husaini Mohd Hashim.
Undang-undang baharu tersebut menumpukan kepada usaha untuk mempermudahkan pelaburan langsung asing (FDI) terutamanya dalam mengurangkan kerenah birokrasi, sekali gus menyediakan peluang untuk dimanfaatkan oleh perniagaan Malaysia, katanya kepada media Malaysia di sini, hari ini.
Selain itu undang-undang tersebut juga akan memberikan kemudahan menerusi pengecualian cukai, insentif dan pakej perlindungan pelaburan.
Malaysia merupakan pelabur ketiga terbesar di Kemboja dengan FDI bernilai US$3.53 bilion (US$1 = RM4.18) antara tempoh 1994-2020, selepas China dan Korea Selatan, terutamanya dalam sektor perbankan, telekomunikasi, penjanaan kuasa serta hiburan.
"Justeru, lawatan rasmi Perdana Menteri ini dianggap sebagai satu petanda yang Malaysia bersedia untuk melabur dengan lebih banyak lagi di Kemboja dan disambut baik oleh Kerajaan Kemboja," katanya.
Eldeen Husaini berkata, lawatan sulung Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia selama dua hari bermula 23 Feb itu adalah untuk memenuhi jemputan rakan sejawatannya, Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen.
Perdana Menteri dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh Kemboja pada petang 23 Feb, 2022 dan akan disambut oleh Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Othman Hassan sebagai mewakili Kerajaan Kemboja.
Beliau akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri KananPerdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaludin Alias, Pengerusi Risda Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif, serta para pegawai kerajaan daripada kementerian dan agensi berkaitan.
Pada hari pertama lawatannya Perdana Menteri akan menghadiri majlis makan malam dan ramah mesra bersama Keluarga Malaysia dan juga komuniti peniagaan Malaysia yang berada di Kemboja.
Eldeen Husaini berkata terdapat kira-kira 5,000 rakyat Malaysia menetap di Kemboja, yang mana daripada jumlah itu kira-kira 2,000 orang berada di ibu kota Phnom Penh dan terlibat terutamanya dalam pelbagai perniagaan sejak 1994.
Pada hari kedua, Perdana Menteri akan memulakan acara rasmi dengan mengadakan lawatan ke Independent Monument bagi acara penghormatan bertempat di Independent Monument dan seterusnya ke acara penghormatan Monument of Preah Borom Ratanak Kaudh di sekitar kawasan yang sama.
Ismail Sabri juga akan diberikan upacara sambutan rasmi dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara serta dikuti dengan acara lintas hormat diringi oleh Hun Sen di Peace Palace Phnom Penh.
"Kedua-dua Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan empat mata untuk membincangkan mengenai pengukuhan hubungan dua hala, isu-isu serantau bersama serta kerjasama di peringkat antarabangsa," katanya.
Kemboja merupakan Pengerusi ASEAN 2022.
"Lawatan Perdana Menteri ini akan membuka peluang kepada kedua-dua pemimpin negara untuk membincangkan isu- isu dan kerjasama dua hala yang berkepentingan bersama serta meneroka kerjasama baharu pasca COVID-19 serta dalam menangani cabaran serantau dan antarabangsa," tambahnya.
Sementara itu, Eldeen Husaini berkata kadar vaksinasi yang tinggi di Kemboja telah membolehkan negara itu membukakan sempadannya dan menunggu kedatangan lebih banyak penerbangan dari Malaysia.
"Ini mungkin menjadi satu daripada banyak topik yang akan dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin," katanya.
Perdana Menteri juga dijadualkan menghadiri majlis mengadap Raja Kemboja, Baginda Norodom Sihamoni, bertempat di Istana Negara sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand.
Jumlah perdagangan Kemboja-Malaysia melepasi US$500 juta pada 2021, meningkat sebanyak 13.14 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut laporan, eksport Kemboja ke Malaysia berjumlah US$101 juta pada 2021, meningkat sebanyak 2.62 peratus daripada US$98 juta pada 2020, manakala import bernilai US$399 juta, melonjak sebanyak 16.16 peratus tahun ke tahun daripada US$343 juta pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ekonomi Kemboja pada 2022 diunjur kembali ke paras pengembangan seperti sebelum pandemik. Negara itu dijangka mencatatkan pemulihan penuh eksport daripada sektor pembuatannya tetapi pertumbuhan sektor perkhidmatan dijangka lemah memandangkan industri pelancongan dan pembangunan hartanah tidak dijangka pulih sehingga 2023.
Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Kemboja meningkat 4.5 peratus pada 2022 dan mencecah 5.5 peratus pada 2023 manakala Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.7 peratus pada 2022.
-- BERNAMA
#ismail sabri yaakob #Kemboja #Eldeen Husaini Mohd Hashim #perdagangan dan pelaburan
;