Lawatan kerja: PM adakan pertemuan dengan syarikat gergasi UAE
Irfan Faruqi
Januari 13, 2025 15:08 MYT
Januari 13, 2025 15:08 MYT
ABU DHABI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan hari kedua lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan pertemuan bersama syarikat-syarikat gergasi negara itu.
Mesyuarat tertutup berkenaan melibatkan syarikat tenaga UAE, Masdar dan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA).
Pada sebelah petang pula, Anwar dijadualkan bertemu Syarikat Pelaburan Mubadala (Mubadala).
Masing-masing merupakan syarikat milik kerajaan yang terlibat langsung dalam pelbagai aktiviti pelaburan termasuk sektor tenaga, teknologi, dan pusat data.
Pada pertemuan itu, delegasi Masdar diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mohamed Jameel Al Ramahi.
Semasa pertemuan Anwar dengan pihak Masdar dalam lawatan kerja pada Oktober 2023 yang lalu, syarikat berkenaan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menggalakkan pelaburan berhubung projek-projek tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dengan kapasiti sehingga 10 gigawatt bernilai AS$8 bilion (RM36 bilion).
Delegasi ADIA pula diketuai oleh Pengarah Urusan, Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan.
Pemegang taruh dana kekayaan berdaulat UAE itu merupakan sebahagian daripada konsortium yang terlibat dalam bidaan penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), bersama Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Global Infrastructure Partners (GIP).
Sementara delegasi Mubadala akan diketuai oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khaldoon Khalifa Al Mubarak. Syarikat pelaburan berdaulat ini menguruskan pelbagai portfolio pelaburan bernilai kira-kira AS$302 bilion dalam dan luar UAE.
Pertemuan-pertemuan ini dilihat sebagai usaha meneruskan kecemerlangan kerjasama yang dicapai semasa lawatan Perdana Menteri terdahulu yang berjaya menarik komitmen pelaburan berjumlah RM40.6 bilion (AS$8.6 billion).
Ia juga sebagai lembaran baharu kerjasama perdagangan dan pelaburan menjelang berkuatkuasanya Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA) yang akan dimeterai dalam lawatan kerja kali ini.