Lawatan kedua Anwar ke Jepun simbolik hubungan mapan dua hala 68 tahun

Nabilah Khaleeda
Mei 22, 2024 21:14 MYT
Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abd Ghany berkata walaupun lawatan itu singkat, namun ia padat dengan beberapa perjumpaan bersama penggubal dasar dan kapten industri. - Foto Astro AWANI/Nabilah Khaleeda
TOKYO: Lawatan kedua Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun dalam tempoh enam bulan jelas mencerminkan hubungan rapat selama 68 tahun antara Malaysia dan Jepun.
Ia terutama apabila Malaysia dan Jepun menaik taraf hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik dan Komprehensif pada hujung tahun lalu.
Anwar tiba di Tokyo lewat Rabu untuk lawatan kerja tiga hari, diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abd Ghany berkata walaupun lawatan itu singkat, namun ia padat dengan beberapa perjumpaan bersama penggubal dasar dan kapten industri, memandangkan Perdana Menteri perlu kembali ke Malaysia pada hujung minggu.
Katanya, secara keseluruhan, lawatan ini bakal mengetengahkan Dasar Luar Malaysia, terutama pendirian pendirian Malaysia terhadap isu-isu serantau dan global di pentas antarabangsa.
“Selain itu, ia memfokus kepada kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada tahun hadapan.
“Perdana Menteri akan berada di sini khusus bagi Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-29 (Persidangan Nikkei), dan Anwar akan menjadi pemimpin pertama yang akan menyampaikan ucaptama di persidangan itu esok.
“Ucapan beliau akan berkisar kepada tema ‘Asian Leadership in an Uncertain World’ yang menyentuh isu geopolitik dan Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun depan.
Anwar turut dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatannya Fumio Kishida di pejabatnya pada hari sama bagi membincangkan inisiatif mengukuhkan hubungan Malaysia-Jepun.
“Pertemuan ini akan membincangkan beberapa perkara termasuk teknologi tinggi, peralihan tenaga dan kerjasama alam sekitar, pertahanan dan keselamatan, pembinaan kapasiti, dan pendidikan tinggi.
“Kedua-dua pemimpin itu juga akan berbincang mengenai isu-isu geopolitik dan serantau termasuk genosid di Gaza, perang di Ukraine, isu Laut China Selatan dan Semenanjung Korea,” jelas Shahril.
Dalam pada itu, Anwar akan turut mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh korporat dah ahli-ahli perniagaan dari sekurang-kurangnya tujuh syarikat terbesar di Jepun bagi tujuan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing ke Malaysia selain memperkukuh hubungan perdagangan antara Malaysia dan Jepun.
Antaranya termasuk IHI Corporation, Nisshin Oilio Group Ltd., Tokuyama Corporation, Sumitomo Corporation & ENEOS Corporation, ENEOS Holding, Mitsubishi Corporation dan Tokyo Gas.
#lawatan PM ke Jepun #Perdana Menteri Anwar Ibrahim #Malaysia #Jepun
;