Lawatan ke Sabah umpama balik kampung - Penny Wong

Astro Awani
Jun 29, 2022 07:00 MYT
Penny Wong (empat, kiri) bersama rakan-rakannya dari Sabah pada majlis ramah mesra di Kota Kinabalu, 29 Jun 2022. -- fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Menteri Luar Australia Senator Penny Wong menyifatkan lawatan beliau ke Sabah tidak ubah seperti pulang ke kampung halamannya.
Anak kelahiran Kota Kinabalu itu berkata, kehadiran beliau juga sebagai tanda penghormatan kepada rakyat Sabah, khususnya ahli keluarganya.
"Perjalanan ke Kota Kinabalu ini seolah-olah balik kampung. Ia juga satu penghormatan dan saya berharap dapat memberi impak kepada hubungan baik antara negara kelahiran saya dan Australia," katanya ketika berucap dalam satu majlis meraikan kedatangannya di Hotel Le Meridien, Kota Kinabalu.
Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Dr Justin Lee.
Pada masa yang sama, Wong turut menyatakan kepulangannya ke negeri di bawah bayu itu mengimbas kembali memori zaman kanak-kanaknya.
"Kepulangan saya ini tanda kasih sayang terhadap negeri ini dan penduduknya. Ia mengimbau kembali zaman kanak-kanak saya di Sabah.
"Pantai Tanjung Aru, Pulau Mamutik, Gunung Kinabalu, Jambatan Tamparuli, Sungai Tambunan, ayam masak cendawan masakan nenek, dan ayah membeli ikan segar dan udang untuk makan tengah hari.
"Semuanya masih segar dalam ingatan saya," katanya lagi.
Wong yang berada di Sabah selama dua hari akan melawat beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu sebelum berlepas pulang ke Australia.
Hari ini, Wong akan menyambung lawatan balik kampungnya dengan melawat bekas sekolah beliau Kinabalu International School dan bersiar-siar di pekan Cina Luyang.
#Penny Wong #Sabah #Kota Kinabalu #Menteri Luar Australia
;