Lawatan ke Arab Saudi ditaja penuh MWL - Zulkifli

Bernama
April 13, 2021 20:15 MYT
Zulkifli berpandangan bahawa tajaan lawatan itu merupakan tanda penghormatan kerajaan Arab Saudi dan pihak Liga Dunia Islam (MWL) kepada kerajaan Malaysia. - Gambar Twitter
MADINAH: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan bahawa lawatan kerjanya ke Arab Saudi yang bermula Jumaat lepas, ditaja sepenuhnya Liga Dunia Islam (MWL).
Zulkifli turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau menyalahguna dana kerajaan ketika melakukan lawatan itu.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebooknya, selepas tular video di laman media sosial berhubung delegasinya menaiki pesawat khas ketika lawatan itu.
"Saya menaiki penerbangan SAUDIA Airlines dari Kuala Lumpur ke Riyadh, sama seperti penumpang lain...penerbangan daripada Riyadh ke Madinah seperti dalam video itu diuruskan sepenuhnya oleh MWL," katanya.

Ketibaan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) di Kota Suci Madinah al-Munawwarah pada jam 10.15 malam semalam waktu Arab Saudi disambut oleh wakil Perhubungan Antarabangsa @MWLOrg , Sheikh Mohammed bin Said al-Majdouie. pic.twitter.com/Dt5iZ0jzy8

— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) April 12, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata beliau dijemput untuk ke Madinah dengan menaiki pesawat khas sejurus selepas Gabenor Madinah Putera Faisal bin Salman bin Abdulaziz Al Saud mengetahui bahawa beliau seorang Menteri berkelulusan Universiti Islam Madinah.
"Ini berikutan jemputan Diraja oleh Gabenor Madinah, Yang Mulia Putera Faisal bin Salman bin Abdulaziz Al Saud kepada saya untuk bertemu baginda di Madinah," katanya.
"Baginda amat sukacita apabila mendapat tahu ada seorang Menteri daripada Malaysia, berkelulusan Universiti Islam Madinah, telah datang ke Arab Saudi atas urusan negara. Atas sebab itulah jemputan diraja dizahirkan berserta dengan pesawat berkenaan... begitulah sebagaimana yang saya dimaklumkan," katanya.
Dalam pada itu Zulkifli berpandangan bahawa tajaan lawatan itu merupakan tanda penghormatan kerajaan Arab Saudi dan pihak MWL kepada kerajaan Malaysia.
MWL yang ditubuhkan pada 1962 merupakan sebuah badan bukan kerajaan Islam yang berpangkalan di Makkah, dibiayai sepenuhnya kerajaan Arab Saudi.
Lawatan yang bermula Jumaat lepas hingga 18 April ini bertujuan memperkukuh kerjasama dalam hal ehwal Islam serta ibadah haji dan umrah sebagaimana yang dimeterai dalam memorandum persefahaman (MoU) hasil kunjungan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac lepas. - BERNAMA
#Zulkifli Mohamad Al-Bakri #lawatan ke Arab Saudi #ditaja penuh #MWL #Liga Dunia Islam #Madinah #Gabenor Madinah #Menteri di Jabatan Perdana Menteri #Saudia Airlines #Kuala Lumpur #Riyadh
;