Lawatan Azmin ke Hagia Sophia, Turkey Local Guides mohon maaf

Sinar Harian
Julai 12, 2021 04:19 MYT
Hantaran di laman sosial itu sebelum ini menyatakan bahawa Mohamed Azmin bersedia dan sabar untuk mendengar (mengenai) kisah sejarah Hagia Sophia. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM : Pengendali laman Instagram Turkey Local Guides memohon maaf atas hantaran di Facebooknya yang mengatakan membawa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengunjungi Hagia Sophia bersama keluarganya.
Menurutnya, lawatan yang diadakan tersebut sebenarnya adalah lawatan rasmi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia.
"Saya telah membuat kesilapan maklumat tentang pelanggan kami.
“Ia merupakan lawatan rasmi daripada MITI.
"Lawatan ini merupakan sebahagian program yang diatur oleh kerajaan Turki.
"Kami bawa ke sana (Hagia Sophia) untuk menunaikan solat Asar,” katanya pada Isnin.
Hantaran di laman sosial itu sebelum ini menyatakan bahawa Mohamed Azmin bersedia dan sabar untuk mendengar (mengenai) kisah sejarah Hagia Sophia.
Bagaimanapun, semakan mendapati hantaran di akaun Instagram itu sudah dipadamkan.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah antara yang turut memberikan kritikan dengan sarkastik mengatakan bahawa beliau tidak dapat mengunjungi Hagia Sophia pada tahun 2017.
Beliau mengatakan bahawa keberadaannya di Turki adalah untuk mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam bersama pemimpin negara-negara Islam.
"Sayang sekali, saya tidak sempat mengunjungi Hagia Sophia. Azmin, cantik ke tempat ini?
“Tak ada peluang sampai nak buat macam mana kan? Dapat tengok gambar pun gembira,” katanya.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN: Lawatan Azmin ke Hagia Sophia, Turkey Local Guides mohon maaf
#Azmin Ali #Hagia Sophia #Turkey Local Guides #Turki #mohon maaf #MITI #lawatan rasmi #Najib Razak #Tular #viral #Instagram
;