Lawatan Anwar ke Indonesia: Isu tenaga kerja, perburuhan bakal jadi agenda utama

Madiha Abdullah
Januari 6, 2023 13:57 MYT
Anwar dijangka mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia pada 8 dan 9 Januari ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Isu tenaga kerja dan perburuhan dilihat antara yang bakal menjadi agenda utama dalam lawatan kerja pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Indonesia hujung minggu ini.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Ahmad Marthada Mohamad berkata, isu tersebut dilihat kritikal untuk diselesaikan kerana tenaga kerja Indonesia amat diperlukan bagi menggerakkan beberapa industri tempatan.
"Ada beberapa isu yang perlu diselesaikan segera terutama perihal pengambilan buruh asing Indonesia yang menjadi antara isu pertikaian malah sebelum ini, Indonesia pernah menghentikan penghantaran buruh asing ke Malaysia.
"Kebelakangan ini juga timbul juga pelbagai isu di mana majikan mendera buruh dan pembantu rumah Indonesia sehingga mengakibatkan kecederaan. Ini menimbulkan kemarahan Indonesia.
"Kedua-dua isu ini sangat penting kerana kita masih harapkan pembantu rumah Indonesia kerana kos tidak begitu tinggi jika dibandingkan dengan kos pengambilan negara lain seperti Filipina, jadi ia perlu diselesaikan secepat mungkin.
"Dengan adanya perhubungan baik antara Anwar dengan pimpinan Indonesia, maka isu kritikal dapat diselesaikan secepat mungkin sekaligus membantu industri yang memerlukan,"katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Jumaat.
Dalam masa yang sama, pertemuan Anwar dan Presiden Joko Widodo juga pastinya akan membuka lebih banyak ruang untuk isu serantau dan antarabangsa dibincangkan dengan meluas, apatah lagi kedua-dua pemimpin mempunyai persamaan dalam memperjuangkan isu kemanusiaan.
"Malaysia dan Indonesia banyak persamaan, Presiden Jokowi sering menggunakan pentas antarabangsa untuk membangkitkan isu berkaitan bukan sahaja serantau malah sejagat seperti perang Rusia dan Ukraine serta penindasan Rohingya di Myanmar.
"Anwar juga sering bawa isu penindasan seperti di Palestin dan juga Myanmar. Dengan ada persamaan dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di peringkat serantau dan sejagat, maka mudah untuk membuat kenyataan bersama, membangkitkan isu serantau dan berkaitan seperti pelarian Rohingya yang sehingga kini masih belum selesai.
"Kebersamaan ini akan membantu untuk memantapkan kestabilan politik di rantau ini,"ujarnya.
Anwar dijangka mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia pada 8 dan 9 Januari ini, yang juga merupakan lawatan kerja ke luar negara pertamanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.
Lawatan Rasmi | Lawatan luar pertama Perdana Menteri ke Indonesia
#Anwar Ibrahim #Indonesia #Malaysia #Joko Widodo
;