Lawatan Anwar beri harapan bantu proses rundingan damai Selatan Thailand

Madiha Abdullah
Februari 9, 2023 16:04 MYT
Lawatan itu signifikan dengan pengaruh yang dimiliki serta tanggapan baik komuniti Selatan Thai terhadap pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar. - Fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Lawatan rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand bukan sekadar penting bagi mengukuhkan hubungan dua negara, malah turut membawa harapan dalam proses rundingan damai selatan Thailand.
Pengarah Urusan Iman Research, Altaf Deviyati berkata, ia juga signifikan dengan pengaruh yang dimiliki Perdana Menteri serta tanggapan baik komuniti Selatan Thai terhadap pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar.
"Penerimaan mereka terhadap pembentukan kerajaan Malaysia sangat positif ditambah dengan personaliti Anwar yang dilihat sangat prihatin dengan isu-isu ASEAN, malah beliau sebelum ini kerap menunjukkan kebimbangan terhadap isu di Selatan Thai.
"Kedua, Malaysia dan Thailand adalah rakan dagang yang sangat akrab dan mahu meningkatkan perdagangan dua hala terutama di sempadan malah ada projection untuk meningkatkan nilai dagangan sehingga AS$30 bilion dalam beberapa tahun lagi.
"Kedua-dua negara ada kepentingan untuk meningkatkan nilai dagang di sempadan, tetapi jika mahu lakukan itu, kedua-dua negara kena lihat pada wilayah-wilayah di sempadan ini .
"Kalau wilayah-wilayah di sempadan ini tidak mendapat kesan limpahan daripada perdagangan ekonomi, ini akan buat keganasan lebih menjadi-jadi.
"Adalah penting bagi kedua-dua Thailand dan Malaysia agar keganasan dikurangkan demi kemakmuran di wilayah di sempadan," katanya ketika muncul dalam program Pantau Kerajaan Baharu di Astro AWANI, pada Khamis.
Tambahnya, biarpun kedudukan Malaysia sebagai fasilitator bagi proses dialog damai itu agak aneh, namun ia boleh dilihat dari aspek kemakmuran sempadan bersama yang berpotensi menarik lebih banyak pelaburan.
"Agak aneh Malaysia jadi fasilitator sebab kita ada kepentingan ekonomi dan budaya, jadi pintu yang baik itu kita masuk ialah kemakmuran sempadan bersama, dimana kita perlu menangani keganasan dan jalan damai ialah faktor yang membawa kemakmuran.
"Kalau sebuah zon ekonomi khas yang selamat boleh diwujudkan di wilayah-wilayah ini yang melindungi kawasan perdagangan, ini boleh beri keyakinan kepada pelabur untuk datang," katanya lagi.
Anwar tiba di Thailand untuk lawatan kerja dua hari bermula hari ini.
Pusingan keenam rundingan damai konflik selatan Thailand di Kuala Lumpur pada 21 dan 22 Februari ini.
Jumaat lalu, Tan Sri Zulkilfi Zainal Abidin selaku Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi proses dialog damai Selatan Thailand, mengadakan kunjungan hormat ke atas Jeneral Wanlop Ruksanaoh yang mengetuai Panel Dialog Keamanan bagi Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PEDP).
Pantau Kerajaan Baharu | Lawatan rasmi PM ke Thailand
#Anwar Ibrahim #Thailand #Selatan Thai #ASEAN
;