Lawas dilanda banjir, rumah panjang dimasuki air deras

Fadilah Sulaiman
Mei 20, 2021 12:10 MYT
Keadaan di sebuah rumah panjang di Kampung Meruyu, Long Napir, Lawas yang dimasuki air deras. - Foto JPBN Sarawak
LAWAS: Beberapa kawasan di sini dilanda banjir susulan hujan lebat yang melanda sejak malam Rabu
Setakat awal pagi tadi, paras air di beberapa kawasan di sini termasuk di pedalaman dilaporkan mencecah 1.5 meter.
“Kejadian banjir berlaku berpunca daripada keadaan hujan lebat berterusan di kawasan daerah Lawas yang bermula jam 4.00 petang Rabu sehingga 5.00 pagi Khamis.
“Tiada kemalangan jiwa dan rumah yang terjejas dilaporkan,” kata Ketua Balai Bomba Lawas, Zaki Hussin ketika dihubungi Astro Awani.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, air mula naik sejak jam 4.00 petang Rabu dan pagi tadi telah menjejaskan sebelas perkampungan.
Antara yang teruk terjejas, Kampung Meruyu dekat Long Napir yang menyaksikan air deras memasuki kawasan rumah panjang.
Situasi cemas itu sempat dirakam salah seorang penduduk di rumah panjang yang terjejas dan dikongsi di media sosial.
Situasi ketika air deras memasuki salah sebuah rumah panjang
Sementara itu Lapangan Terbang Lawas terpaksa menutup operasi selama dua hari bagi operasi pembersihan.
Semua agensi yang terlibat dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Lawas diaktifkan untuk membantu menyelaras operasi menyelamat, pemindahan dan mengkoordinasi bantuan.
#banjir #Lawas #Astro Awani #bomba #operasi #kemalangan #hujan
;