'Lawan tetap lawan, fail representasi tuduhan menipu' - Boy Iman
Sinar Harian
Jun 13, 2023 15:33 MYT
Jun 13, 2023 15:33 MYT
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Boy Iman memberitahu akan terus melawan dan berdepan pertuduhan menipu berhubung penganjuran festival beli-belah Hooray X Fest Raya yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Majistret di sini.
Ketika ditemui media selepas sebutan kesnya pada Selasa, Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman, 43, berkata, representasi berkaitan pertuduhan kes akan dihantar dalam masa terdekat.
“Lawan tetap lawan, saya akan arahkan peguam untuk memfailkan representasi berkenaan,” katanya.
Semasa prosiding, Majistret, Noorelyanna Hanim Abdul Halim menetapkan 17 Julai depan bagi pengurusan kes Boy Iman dan tiga lagi individu atas pertuduhan itu.
Pada 25 April lalu, Boy Iman, Nor Azmi Jantan, 49; Norazah Sahud, 51, dan Norzana Rapie @ Rafie, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu Siti Wardina Basir dengan memperdayakannya dalam urusan penyewaan tapak Hooray X Fest di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM1,500.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di WTC pada jam 2.34 pagi pada 19 April lalu dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sebelum ini, media melaporkan, karnival jualan sempena Aidilfitri yang sepatutnya berlangsung di WTC April lalu, dibatalkan pada saat akhir selepas penaja utama menarik diri.
Ini menyebabkan peniaga-peniaga yang membuat tempahan gerai jualan itu kecewa kerana tidak dapat menjalankan perniagaan masing-masing.