Lawan COVID-19 bersungguh-sungguh supaya 'abnormal' ini berakhir - Tok Mat
Astro Awani
April 29, 2020 14:37 MYT
April 29, 2020 14:37 MYT
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersungguh-sungguh melawan pandemik COVID-19 untuk mengembalikan kehidupan lazim.
Mohamad berkata ‘a new normal’ yang disebut-sebut sekarang merupakan ‘a new abnormal’ dan perlu diakhiri dengan segera.
"Kita harus kembali ke kehidupan yang asasi, lumrah dan tabii. Apa yang kita lalui sekarang adalah sangat abnormal’.
"Tidak solat berjemaah tidak mungkin akan menjadi ‘a new normal’. Ia adalah ‘abnormality’ yang mesti segera kita akhiri kerana kita sangat rindu dengan masjid, surau dan musolla kita serta para kariahnya," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya.
Mohamad berkata tidak boleh memberikan penghormatan terakhir kepada mereka yang disayangi merupakan sesuatu 'abnormal' dan sangat asing.
"Ia bukan budaya dan cara kita berkehidupan. Kita mesti kembali boleh memandi, mengkafan dan melakukan solat terakhir untuk mereka yang sangat kita cintai," katanya lagi.
Katanya, Ramadan kali ini sangat asing bagi seluruh umat Islam di negara ini kerana tidak dapat berterawih dan bermoreh seperti sebelumnya.
Beliau menegaskan Kementerian Kesihatan Malaysia tidak boleh bersendirian memerangi wabak ini bagi pihak seluruh rakyat.
"Sekarang kita mesti melakukan peranan kita sebagai individu, masyarakat dan rakyat Malaysia. Bahawa akhiran wabak ini mesti bermula dari kita.
"Mulai sekarang, kita fahamkan kepada anak-anak dan keluarga kita, tanpa kebersihan peribadi, pandemic ini tidak akan berakhir," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau itu berkata pengumuman kerajaan tentang beberapa sektor ekonomi yang dibenarkan beroprasi sepenuhnya merupakan sebahagian dari strategi pemulihan yang tepat.
Beliau menyeru agar kerajaan segera mengumumkan agar strategi keseluruhan dan fasa pelaksanaannya bagi memastikan rakyat dapat dididik dan diberi kefahaman tentang dua perkara.
"Pertama bagaimana kita harus menyesuaikan diri dengan ‘abnormality’ ini dan kedua, bagaimana kita mesti mengakhirinya.
"Samada PKP ini akan berakhir Mei ini atau tidak, masyarakat mesti segera difahamkan tentang pelbagai ‘recovery strategy’ ini," jelas beliau.
Mohamad turut menjelaskan bahawa sains mempunyai jawapan untuk strategi pemulihan kerana dapatan sains merupakan yang terkini dan termaju bukan politik atau pertimbangan lain.
"‘Stay home’ tidak boleh menjadi kelaziman baru yang berpanjangan. Ia akan menjadi sesuatu yang counterproductive’ kerana perniagaan, pekerjaan dan keusahawan mesti kita selamatkan," katanya.
Mohamad menegaskan bahawa virus ini tidak boleh menenggelamkan tamadun, kemajuan, kebudayaan dan kehidupan beragama dan bermasyarakat.
"Kita hanya ada satu misi waktu ini, iaitu mengalahkan pandemic pathogen dan mengakhiri fasa ‘abnormality’ ini dengan ‘recovery strategy’ yang seimbang, ampuh dan tuntas.
"Hanya dengan kejayaan misi ini, kita akan kembali kepada kehidupan ‘normal’ yang sesuai dengan fitrah, budaya dan citra masyarakat dan agama kita," katanya.
#abnormal
#ADUN Rantau
#counterproductive
#COVID-19
#Facebook TokMatHasanN9
#kerajaan
#Mohamad Hasan
#normal baharu
#PKP
#recovery strategy
#timbalan presiden
#UMNO