Lawan COVID-19: Agong seru kerjasama semua pihak

Astro Awani
Mac 29, 2021 16:36 MYT
Usaha melawan pandemik COVID-19 wajar digalas menerusi kerjasama semua pihak termasuk kerjasama antara kerajaan dan rakyat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Usaha melawan pandemik COVID-19 wajar digalas menerusi kerjasama semua pihak termasuk kerjasama antara kerajaan dan rakyat serta melalui semangat setiakawan yang erat dari seluruh rakyat.
Demikian titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru rakyat untuk berganding bahu menunaikan tanggungjawab melindungi diri dan masyarakat.
"Beta menaruh sepenuh keyakinan, berbekalkan ikhtiar serta usaha kita semua menerusi Program Pemerkasaan Komuniti dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, akan membolehkan kita bangkit semula, bersama seiring dan sehaluan membina masa hadapan yang lebih gemilang buat negara yang dicintai ini.
"Marilah kita bersama-sama meneruskan agenda memerangi pandemik COVID-19 dan menunaikan kewajipan untuk melindungi negara tanah tumpahnya darah kita," titah baginda sempena pelancaran Program Pemerkasaan Komuniti yang disiarkan secara langsung pada Isnin.
Titah Diraja Program Pemerkasaan Komuniti
Ujar baginda, ketika negara mula dilanda gelombang pertama pandemik COVID-19 awal tahun lalu, negara berjaya melandaikan lekuk peningkatan kes harian hasil usaha gigih pelbagai pihak serta kerjasama erat seluruh rakyat Malaysia.
Namun, titah Seri Paduka, pada tahun ini negara dikejutkan dengan peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 yang telah membawa cabaran getir kepada petugas barisan hadapan dan fasiliti kesihatan negara, seterusnya mengubah falsafah kehidupan rakyat.
Justeru, Al-Sultan Abdullah bertitah baginda menyambut baik usaha kerajaan dalam merangka Program Pemerkasaan Komuniti yang menyaksikan penglibatan seluruh lapisan masyarakat dan pemimpin komuniti dalam mengurang serta mencegah jangkitan COVID-19.
#Yang di-Pertuan Agong #Al-Sultan Abdullah #Program Pemerkasaan Ekonomi #vaksin #PICK #COVID-19
;