Lawan arus kerana tak perasan jalan tidak boleh dilalui

Sinar Harian
Julai 6, 2024 13:28 MYT
Video tular lori yang dipandu secara melawan arus di Jalan Persiaran S2/3 berhampiran sebuah restoran makanan segera di Seremban. -Foto Sinar Harian
SEREMBAN: Tidak perasan laluan jalan tidak boleh dilalui menyebabkan seorang pemandu lori memandu secara melawan arus di Jalan Persiaran S2/3 berhampiran sebuah restoran makanan segera di sini, pada Jumaat.

Ringkasan AI
  • Seorang pemandu lori berusia 54 tahun dikesan memandu melawan arus di Jalan Persiaran S2/3, Seremban 2 pada jam 11.39 pagi Jumaat.
  • Siasatan mendapati pemandu tersebut mendakwa tidak perasan laluan tersebut tidak boleh dilalui dan hanya memandu berpandukan aplikasi GPS.
  • Pemandu lori tersebut kini ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 11.39 pagi.
"Pada jam lebih kurang 7.40 malam semalam (Jumaat) telah tular satu rakaman video berdurasi 51 saat di media sosial memaparkan sebuah lori berwarna putih yang bergerak melawan arus.
"Usaha mengesan suspek dilakukan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Seremban dan membawa kepada penahanan pemandu lori terbabit iaitu seorang lelaki berusia 54 tahun pada Jumaat, " katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, lelaki itu tidak perasan laluan tersebut tidak boleh dilalui dan hanya memandu berpandukan aplikasi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).
Tambahnya, lelaki itu yang ketika kejadian sedang membuat penghantaran barang di kawasan Seremban turut memberitahu tidak biasa dengan laluan di kawasan terbabit.
"Semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk memandu dengan lebih berhati-hati dan mematuhi undang-undang bagi memastikan keselamatan semua pihak.
"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Sarjan Mohamad Azmi di talian 013-4288599 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. -Sinar Harian
#lawan arus #pemandu lori #ikut GPS #Jalan Persiaran S2 3
;