Lawak hina Malaysia: KJ, Shahril Hamdan 'sekolahkan' Jocelyn Chia

Hasimi Muhamad
Jun 9, 2023 22:18 MYT
Menurut Khairy, Chia (tengah) tidak sepatutnya menggunakan insiden tragis itu sebagai bahan lawak.
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membidas tindakan pelawak wanita kelahiran Singapura, Jocelyn Chia yang memperlekehkan Malaysia dan mempersenda tragedi MH370, baru-baru ini.
Menurut Khairy, Chia tidak sepatutnya menggunakan insiden tragis itu sebagai bahan lawak, dan jenaka seharusnya mempunyai 'sempadan' khususnya melibatkan isu sensitif.
"Kita ketepikan dia (lahir di Singapura). Saya mahu buat provokasi sikit.
"Adakah kita boleh menggunakan peristiwa tragis setelah beberapa tahun berlalu, dan jadikan bahan lawak?
"Di dunia barat pun ada garis merah (lawak), dan saya tak pernah (dengar)... kalau ada pun (mesti) dikecam dunia barat (mengenai) lawak Holocaust atau pembunuhan beramai-ramai ketika perang dunia kedua.
"Saya tak fikir ia sesuatu yang boleh diterima walaupun Holocaust dengan MH30 buat (perbandingan) apple to apple. Tetapi itu adalah tragedi," katanya dalam podcast 'Keluar Sekejap bersama Shahril Hamdan', yang disiarkan pada Jumaat.
Dalam sama sama, Shahril yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO sependapat dengan Khairy, dengan menyifatkan lawak Chia sebagai tidak boleh diterima dalam budaya Malaysia.
"Sudah tentu dalam budaya Malaysia, lebih daripada ya (tak setuju). Kita bukan macam Amerika Syarikat, di mana tragedi 9/11 dah banyak lawak komediri dibuat tentang tarikh itu.
"Tetapi di Malaysia, saya tak fikir sosial budaya (masyarakat) membenarkan dan membolehkan respons serupa (seperti masyarakat di Amerika Syarikat).
"Tragedi adalah perkara sedih dan diratapi dan ia tidak boleh diperkecilkan.
"Kedua, soal MH370 ini masih ada yang belum terjawab dan banyak persoalan, serta kesedihan atas isu itu," ujar Shahril.
KJ, Shahril Hamdan 'sekolahkan' Jocelyn Chia
Terdahulu, Chia dikecam selepas bertindak keterlaluan memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komedi berdiri 'Singapore vs Malaysia' yang dipercayai diadakan di Manhattan, New York.
Wanita itu turut membandingkan Malaysia yang hanya bertaraf negara membangun, berbanding negaranya lebih maju selepas lebih 40 tahun selepas berpisah dari Tanah Melayu.
Susulan insiden itu, Kerajaan Singapura memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan tindakan melampau pelawak tersebut.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, berkata beliau amat terkejut dengan komen menyinggung yang dibuat oleh Chia dalam satu persembahan komedi berdiri, baru-baru ini.
#Jocelyn Chia #Khairy Jamaluddin #MH370 #Lawak hina Malaysia
;